Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan menganjurkan Ekspedisi Berakit 1Malaysia 1Ketengah di Sungai Dungun pada 2 hingga 4 Nov.
Pengurus Besar Ketengah Wan Amin Wan Daud berkata ekpedisi sejauh 35 kilometer itu akan bermula di Kampung Pasir Raja hingga ke Kampung Jerangau, Dungun.
Beliau berkata ekspedisi kali keempat menyusuri Sungai Dungun itu bertujuan mengembalikan nostalgia berakit ke hilir Sungai Dungun sebelum adanya jalan raya yang dibina oleh Ketengah.
"Kami ingin menghidupkan kembali sejarah Sungai Dungun dan Kampung Pasir Raja yang pernah menjadi laluan kepada pejuang-pejuang tanah air seperti Mat Kilau ketika menentang penjajahan British.
"Secara tidak langsung juga ia membantu mempopularkan tempat-tempat menarik di wilayah Ketengah kepada masyarakat setempat dan pengunjung luar," katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau berkata 55 buah rakit akan menyertai ekspedisi itu, antaranya daripada agensi kerajaan, penuntut institusi pengajian tinggi dan badan-badan bukan kerajaan.
No comments:
Post a Comment