Monday, October 1, 2012

Peragut Kena Belasah Orang Ramai, Rakan Cabut Lari

Seorang pembuat barangan tembaga cedera dibelasah orang awam ketika cuba meragut seorang wanita di Jalan Tengku Anum di Kuala Terengganu kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, lelaki berusia 26 tahun itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, tetapi rakannya meloloskan diri.

Sebelum itu, mangsa berusia 30 tahun yang bekerja di sebuah salon, dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.


Pembonceng motosikal berkenaan bertindak menyentap beg tangan yang digalas di bahu kiri hingga menyebabkan wanita itu terjatuh.

Mangsa bertindak melawan hingga menyebabkan pembonceng motosikal itu turut terjatuh.

Wanita itu menjerit meminta tolong daripada orang awam yang sedang menikmati juadah di restoran berdekatan.

Wanita itu yang enggan dikenali berkata, jeritannya mendapat perhatian orang ramai yang meluru membantu dengan membelasah dan memberkas suspek yang cuba melarikan diri ke dalam semak berdekatan.

Rakannya yang menunggang motosikal melarikan diri.

Suspek turut dipukul orang ramai yang marah dengan perbuatan itu membawanya ke balai polis, katanya yang cedera di lengan kanan.

Siasatan awal polis mendapati suspek yang berasal dari Kampung Losong Lebai Salleh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sedang mengesan rakan suspek yang melarikan diri.

Siasatan mendapati motosikal digunakan dipercayai milik rakan suspek, menggunakan nombor pendaftaran palsu.

No comments:

Post a Comment