Thursday, October 4, 2012

Perpustakaan Awam Besut Naik Taraf

 Mohd Azran (tengah) bersama kakitangannya sedia memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan orang ramai.
Perpustakaan Awam Besut di Besut telah menaik taraf sistem pinjaman buku daripada kaedah manual kepada sistem berkomputer atau lebih dikenali sebagai Sistem Virtual sejak awal tahun lalu.

Penolong Pegawai Perpustakaan Besut, Mohd Azran Yusoff berkata, sistem tersebut meningkatkan kemampuan untuk memberi perkhidmatan terbaik dan kemudahan kepada pelanggan.

Menurutnya, antara kelebihan pinjaman buku sejak sistem diwujudkan adalah peminjam boleh memulangkan buku yang dipinjam di perpustakaan ini di mana-mana perpustakaan awam daerah di negeri ini.

“Kaedah perkhidmatan sistem bersepadu ini memudahkan ahli kerana tidak semestinya memulangkan buku di perpustakaan tempat dia meminjam buku sebaliknya di mana-mana sahaja mereka berada di negeri ini,” katanya.

Mohd Azran berkata, sejak sistem ini digunakan Januari lalu hingga September sebanyak 8,632 buah buku telah dipinjam manakala keahlian yang berdaftar seramai 1,219.

Beliau turut meminta seramai 23,740 ahli yang berdaftar dengan perpustakaan awam Besut sebelum itu perlu mendaftar semula bagi mendapat kemudahan pinjaman buku sistem baru ini.

Menurutnya, pelanggan boleh juga menyemak buku yang ingin dipinjam menggunakan komputer manakala buku yang dipinjam hanya perlu diimbas di kaunter pinjaman buku untuk direkodkan.

Mohd Azran berkata lagi, ahli akan dibekalkan dengan kad ahli elektronik yang dikenali sebagai Kad Ilmu.

Sementara itu katanya, Perpustakaan Awam Besut mengalu-alukan orang ramai mendaftar menjadi ahli segera kerana terdapat 105,000 buku di perpustakaan itu sekarang.

“Terdapat ruang rujukan, kanak-kanak dan bahagian dewasa di perpustakaan yang menempatkan ruang dua tingkat itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment