Thursday, October 18, 2012

Piala Malaysia - ATM TIdak Harap Ganjaran Lumayan

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (depan, empat dari kiri) bergambar selepas menerima kunjungan 16 pegawai dan 27 pemain ATM di Istana Negara di Kuala Lumpur semalam.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mengharapkan ganjaran lumayan dalam misi menjulang trofi Piala Malaysia buat pertama kalinya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) berkata, pemain perlu lebih fokus mengejar impian daripada ganjaran selepas berjaya menamatkan penantian selama 46 tahun melangkah ke final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Matlamat terakhir kami musim ini adalah melakar sejarah sendiri iaitu menjadi juara Piala Malaysia dengan menumpaskan Kelantan pada perlawanan akhir nanti.


"Kami tidak menjanjikan jumlah ganjaran, namun pemain akan menerima habuan yang setimpal dengan usaha mereka. "Hanya pemain yang tahu bentuk ganjaran yang bakal diterima mereka," katanya kepada pemberita selepas bersama skuad ATM menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Zulkifeli berkata, beliau menjunjung kasih kepada Tuanku Abdul Halim yang merupakan Pemerintah Tertinggi ATM kerana berkenan menerima kunjungan 16 pegawai dan 27 pemain pasukan ATM.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan yang setiap pemain skuad The Red Warriors akan diberikan ganjaran satu lot tanah jika berjaya menjulang Piala Malaysia.

Setiap lot tanah tersebut bernilai antara RM60,000 hingga RM80,000 dengan kos keseluruhan berjumlah hampir RM2 juta.

Jurulatih ATM, B. Sathianathan juga percaya anak- anak buahnya tidak terlalu memikirkan soal ganjaran kerana apa yang penting adalah untuk memburu kejuaraan sulung mereka pada piala berprestij itu.

"Fokus kami sebelum perlawanan akhir adalah memperbaiki kelemahan yang ada termasuk persediaan dari segi mental kerana bukan mudah mengalahkan pasukan kuat seperti Kelantan," katanya.

Sementara itu, penyerang ATM, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak melahirkan rasa bertuah kerana dapat menghadap Yang di-Pertuan Agong dan berharap 'limpah kurnia dan perkenan' daripada baginda, ATM mampu muncul juara Piala Malaysia musim ini.

Kali terakhir pasukan ATM layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia ialah pada 1966, namun mereka tumpas 0-1 kepada Selangor. 

No comments:

Post a Comment