Saturday, October 6, 2012

PLBT Kenal Pasti 60 Pelumba Pelapis Wakili Terengganu

Nor Umardi Rosdi (kiri) dan Saiful Anuar Aziz (tengah).
Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) telah mengenal pasti 60 pelumba remaja negeri itu yang berpotensi di ketengahkan di peringkat tempatan dan antarabangsa pada masa hadapan.

Jurulatih Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, kesemua pelumba pelapis berkenaan yang berusia bawah 14 tahun, kini giat menjalani latihan menerusi program pembangunan atlet PLBT.

Beliau berkata, kesemua mereka itu akan diketengahkan dalam beberapa kejohanan lumba basikal tempatan sebagai pendedahan awal.


"Mereka kini diletakkan di bawah program pembangunan atlet PLBT dan kita akan asuh pelumba-pelumba ini supaya mereka boleh mencapai suatu tahap tertinggi," katanya semalam.

Syed Mohd Hussaini berkata program pembangunan atlet itu ditaja beberapa syarikat tempatan dan sebuah syarikat menjual basikal dari Singapura, yang menaja barangan peralatan basikal termasuk jersi.

 Katanya, menerusi beberapa kejohanan lumba basikal sebelum ini, PLBT berjaya mencungkil beberapa bakat baru seperti Mohd Saiful Anuar Aziz, Mohd Nur Umardi Rosdi dan Mohd Iskandar Fitri Ahmad Sabti yang semakin menyerlah terutama semasa Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit 3 Sarawak 2012, baru-baru.

Selain itu, beliau berkata, PLBT dari semasa ke semasa akan mengenal pasti pelumba wanita bagi mewakili Terengganu pada kejohanan akan datang.

Beliau berkata, setakat ini hanya enam pelumba wanita yang bernaung di bawah persatuan tersebut yang kesemuanya merupakan atlet pelapis negeri itu menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

Terengganu telah melahirkan ramai pelumba basikal berbakat dan berjaya mengharumkan nama negara, antaranya Mohd AzizulHasni Awang, Nur Fateha Mustapa, Anuar Manan dan Mohd Hariff Salleh.

No comments:

Post a Comment