Konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mewujudkan perkhidmatan Bengkel Bergerak (WOW) bagi memberi perkhidmatan lebih efisien dalam membantu pengguna lebuh raya yang menghadapi kerosakan kenderaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, inisiatif itu yang merupakan khidmat sokongan kepada perkhidmatan PLUSRonda sedia ada, juga bertujuan mengelak pengguna lebuh raya daripada menjadi mangsa penipuan trak penunda haram dan bengkel tidak bertanggungjawab yang mengenakan caj melampau.
"Sebelum ini ada pengguna lebuh raya yang mendakwa bahawa mereka diperdaya oleh kumpulan terbabit dengan mengenakan caj bayaran yang tinggi serta melampau ketika pengguna mengalami kesulitan di lebuh raya.
"Justeru kita yakin inisiatif Workshop on Wheels ini sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah tersebut sekali gus menjadi langkah proaktif kami untuk melindungi pengguna lebuh raya," katanya selepas melancarkan WOW di kawasan Rehat dan Rawat Seremban semalam.
Katanya, perkhidmatan yang mendapat kerjasama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) itu akan memberi perkhidmatan yang lebih efisIen kepada pengguna lebuh raya pada harga atau caj yang lebih berpatutan.
Noorizah berkata, kos penundaan kenderaan keluar dari kawasan lebuh raya adalah percuma dan pengguna hanya dikenakan bayaran sekiranya kenderaan ditunda ke bengkel.
"Jika mereka menunda kenderaan mereka ke mana-mana bengkel panel AAM, mereka juga akan menikmati kos peralatan yang lebih murah dan berkualiti, malah pengguna yang merupakan ahli AAM tidak perlu membayar upah kerja," katanya.
Katanya, buat masa ini perkhidmatan WOW akan meliputi lebuh raya PLUS bagi kawasan Selatan iaitu dari Seremban sehingga ke Johor Baharu, sebelum diperluas ke kawasan lain.
"Sebanyak 10 pasukan WOW disediakan sepanjang laluan ini bagi fasa pertama dan perkhidmatan ini akan diperluaskan ke lokasi lain secara berperingkat sebelum ia dijalankan ke kawasan utara menjelang awal tahun depan," katanya.
No comments:
Post a Comment