Friday, October 5, 2012

PNB Serah Zakat RM6.124 Juta Kepada Maidam

Sultan Mizan Zainal Abidin menerima zakat perniagaan Kumpulan PNB yang disampaikan oleh Hamad Kama Piah Che Othman (tengah) di Istana Badariah, Kuala Terengganu, 30 September lalu.
Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Ahad lalu,  menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM6.124 juta bagi empat tahun kewangan dari 2008 hingga 2011 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Penyerahan cek zakat tersebut disempurnakan oleh Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Badariah di Kuala Terengganu.

Hamad Kama Piah memberitahu, Terengganu merupakan negeri kelima menerima zakat perniagaan PNB pada tahun ini selepas Perak, Pahang, Johor dan Sabah bagi tahun kewangan 2009, 2010 dan 2011.

"Sebelum ini, kami serahkan zakat perniagaan kepada negeri Perak berjumlah RM7.197 juta diikuti Pahang (RM5.255 juta), Johor (RM9.873 juta) dan Sabah (RM8.627 juta) bagi tahun kewangan 2009, 2010 dan 2011.

"Kita akan terus menyerahkan zakat perniagaan ke negeri lain selepas ini dan bayaran zakat ini dikira berdasarkan haul dan nasab yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas selesai majlis itu.

Hamad Kama Piah menjelaskan, zakat perniagaan oleh PNB tidak melibatkan agihan pendapatan bagi pemegang unit amanah yang membuat pelaburan dalam tabung Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Justeru, beliau menasihati pemegang akaun berkenaan agar melunaskan sendiri zakat bagi pelaburan dalam setiap unit amanah tersebut.

Pada majlis sama, Maidam turut menerima zakat perniagaan daripada Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC) berjumlah RM2.34 juta dan RM1.03 juta daripada Bank Rakyat. Bank Rakyat juga menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM50,000 lagi kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Group, Ramli Shahul Hameed berkata, bayaran zakat perniagaan RM2.34 juta adalah hasil perolehan tahun 2011 dan merupakan jumlah tertinggi sejak lebih 30 tahun penubuhan EPIC.

Tambahnya, ia merupakan satu perkembangan memberangsangkan berdasarkan peningkatan RM0.74 juta berbanding zakat perniagaan berjumlah RM1.6 juta pada 2010.

No comments:

Post a Comment