Monday, October 1, 2012

RM100J Bantu Kecemerlangan 169 SABK Seluruh Negara

Semua Sekolah Menengah Imtiaz mendapat peruntukan  SABK
 Sebanyak 169 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara bakal mendapat manfaat daripada peruntukan RM100 juta melalui Bajet 2013 bagi meningkatkan pembangunan dan tahap pendidikannya.

Timbalan Pengarah Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam, Kementerian Pelajaran, Wan Ramdzan Wan Mamat berkata, bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sesuatu yang cukup menggembirakan kerana banyak usaha boleh dilaku untuk memacu SABK ke arah lebih cemerlang.


“"Alhamdulillah, bajet yang diumumkan itu adalah berita gembira buat semua SABK di mana Bajet disediakan itu secara kasarnya akan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dan pendidikan SABK," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan majlis penutup program Nadwah Kepemimpinan Islam SABK Kementerian Pelajaran Peringkat Kebangsaan kali ke-2 di Kuala Terengganu, semalam.

Program yang bertujuan memantapkan kepimpinan pelajar itu disertai oleh 300 pelajar dan 32 guru pengiring daripada SABK seluruh negara.

Menurut Wan Ramdzan, pihak kementerian berharap lebih banyak sekolah menengah agama berdaftar di bawah SABK bagi memudahkan mereka mendapat bantuan daripada kerajaan.

"Kita akan pujuk sekolah-sekolah yang ada di bawah kerajaan negeri untuk masuk dan berdaftar di sekolah-sekolah kementerian. Misalnya, Julai lalu, sebanyak 25 buah sekolah agama di Johor telah daftar di bawah SABK. “

Ada lagi beberapa negeri lain yang akan mengikut jejak langkah Johor seperti Perak dan Pahang.

Di Terengganu, semua Sekolah Menengah Imtiaz telah berada di bawah SABK, cuma namanya masih dikekalkan.

“Apabila berada di bawah SABK, ada peruntukan kerajaan yang besar melibatkan pembangunan. Kita juga ada menempatkan guru-guru terlatih dan memberi latihan kepada guru yang tidak terlatih," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment