Monday, October 1, 2012

Terengganu Sasar Tiga Emas Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia

Terengganu mensasarkan tiga pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang akan berlangsung selama dua hari di Bukit Jalil, bermula Sabtu depan.

Setiausaha II Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Kama Rezuan Kamaruddin berkata skuad negeri itu mempunyai prospek cerah memenangi pingat emas dalam acara 4x100 meter lelaki, 4x400 meter wanita dan lontar peluru lelaki.

"Kami menyenaraikan 12 atlet lelaki dan wanita terutamanya atlet yang memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang baru-baru ini, bagi menyertai kesemua 10 acara di kejohanan tersebut.

"Pada Sukma lepas kita berjaya meraih lapan emas dan kejohanan ini akan menjadi kayu pengukur kepada prestasi kita," katanya semalam.

Beliau yang juga pengurus pasukan Terengganu pada kejohanan itu, berkata antara atlet lelaki yang menggalas cabaran negeri itu ialah pelari 100m Mohd Harith Amar, Mohd Ajmal Hassan (110m lompat pagar) dan atlet wanita Layalia Ramli (400m lompat pagar).

Kama Rezuan berkata kejohanan itu juga merupakan satu medan bagi pasukan itu menguji atlet Terengganu dengan kehadiran beberapa pasukan dari luar negara. Katanya atlet Terengganu telah mula menjalani latihan intensif selepas Hari Raya di bawah jurulatih, Zaki Omar dan Shafie Che Noh.

No comments:

Post a Comment