Wednesday, October 10, 2012

Semangat 1Malaysia Pada Pesta Tanglung Kampung Cina


Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bandar, Datuk Toh Chin Yaw berkata, semangat 1Malaysia yang dilaungkan pemimpin negara dapat dilihat pada pesta tanglung tahun ini apabila lebih ramai kaum bukan Cina dilibatkan melalui aktiviti pertunjukkan kereta mini dan motosikal antik.

Selain itu, katanya, pelbagai acara lain yang diadakan pada pesta dua hari itu seperti pertunjukkan jualan produk makanan Cina dan pertunjukan kungfu, tarian singa dan tarian 1Malaysia.

Tarian naga turut memeriahkan Pesta Tanglung Kampung Cina di Kuala Terengganu, baru-baru ini.



 Pesta itu menarik perhatian hampir 5,000 pengunjung yang memenuhi dataran penempatan itu untuk menyaksikan kelipan ratusan tanglung terbang yang mewarnai malam apabila ia dilepaskan.

Bertemakan 'Saya Cinta Terengganu', pesta anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar dan gabungan persatuan masyarakat Cina di sini turut melibatkan lebih 50 gerai jualan serta pameran sepanjang dataran itu.

Perayaan itu lebih meriah dengan penyertaan pelbagai kaum dan pelancong asing yang turut tertarik dengan persembahan kebudayaan masyarakat Cina dan keindahan cahaya lampu yang mewarnai Pulau Warisan, pulau buatan manusia bersebelahan kampung warisan itu.

"Melihat masyarakat Cina turut sama membantu pengunjung kaum lain yang ingin mencuba untuk melepaskan tanglung terbang ini menjadikan suasana pada malam ini sungguh harmoni," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memulakan simbolik nyalaan dan pelepasan lebih 120 tanglung terbang yang turut disertai Chin Yaw, Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang dan beberapa pemimpin masyarakat Cina tempatan.

Tanglung berbentuk bujur diperbuat daripada kertas minyak pelbagai warna itu ada yang ditulis hajat dan ucapan pemiliknya sebelum dilepaskan. Selain tanglung terbang atau 'Kong Ming Deng', hampir keseluruhan kediaman di sepanjang Kampung Cina dihiasi dengan tanglung tradisional pelbagai jenis yang dibuat sendiri oleh pemiliknya menerangi jalan itu.

Sementara itu, Ahmad Said dalam ucapannya berkata, acara berkenaan mampu mewujudkan jalinan muafakat dalam usaha memupuk semangat cintakan budaya kaum lain sekali gus menerapkan semangat perpaduan yang kuat.

"Ini hanya sebahagian inisiatif yang kita boleh buat untuk mengeratkan perpaduan antara kaum. Ia mampu menarik minat kaum lain untuk menyertainya sekali gus dapat mengenali budaya masing-masing dengan lebih dekat," katanya.

Kampung Cina di pinggir muara merupakan pusat sebuah penempatan dan perniagaan lama yang masih mengekalkan sisa wajah silam pusat bandar raya ini.

Pesta Tanglung dan perayaan kuih bulan disambut pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar Cina dan ia turut diadakan di Kampung Cina saban tahun bagi menyuburkan warisan mereka.

Dalam pada itu, Chin Yaw yang juga Pengerusi MCA negeri memberitahu, sumbangan RM300,000 parti tersebut kepada Koperasi Kampung Cina Kuala Terengganu adalah dana tambahan untuk membangunkan pusat kebudayaan Cina di kawasan terbabit.

"Melalui dana ini, sebuah muzium mini akan dibina bagi tujuan pendidikan dan rujukan mengenai sejarah Kampung Cina serta pusat pengumpulan dan pemuliharaan artifak, gambar serta peninggalan lama nenek moyang.

"Pada masa kini, terdapat lima pakar yang dibantu 50 pelajar institusi pengajian tinggi sedang merangka satu konsep yang akan dibangunkan di Kampung Cina dari aspek warisan sejarah dan produk pelancongan," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri.

Sumber - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment