Ibadah haji mampu melatih umat Islam bersatu meningkatkan syiar Islam serta menjalin hubungan erat sesama ummah tanpa mengira latar belakang, titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baginda mahu jemaah haji menghayati peristiwa Siti Hajar berlari berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah bagi mencari air untuk anaknya Nabi Ismail yang menjadi asal-usul air zamzam.
"Daripada peristiwa itu umat Islam seharusnya menanam semangat perjuangan supaya terus berusaha dan tidak putus asa apabila melalui rintangan kehidupan dan menegakkan syiar Islam," titah baginda pada Majlis Pelepasan Jemaah Haji ke Tanah Suci Mekah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di Kuala Terengganu, semalam.
Pada 29 Sept lepas, 445 jemaah berlepas dari sini.
Titah baginda ibadah haji menuntut pengorbanan, menanggung perpisahan dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan kampung halaman serta menahan kemahuan nafsu semasa dalam ihram.
"Beta berharap para jemaah sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni terutamanya di kalangan jemaah sendiri. Setiap jemaah perlu mengamalkan sikap bertolak ansur serta saling mengingati satu sama lain," titah Sultan Mizan.
Baginda turut menasihatkan jemaah haji supaya sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa tempatan serta peratuan yang digariskan Tabung Haji untuk menjamin keselamatan jemaah serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji.
"Beta juga ingin mengucapkan syabas kepada Tabung Haji di atas komitmen yang diberikan kepada jemaah haji dalam usaha mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji," titah baginda.
Sultan Mizan berharap Tabung Haji akan terus dengan usahanya untuk menambah baik sistem pengurusan haji agar pengurusan haji negara ini sentisa di tahap cemerlang dan menjadi contoh kepada negara Islam lain.
Beberapa jemaah yang ditemui mengucapkan syukur serta melahirkan rasa gembira kerana dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Daud Seman, 77 dari Gua Musang, Kelantan berkata beliau telah menunggu beberapa tahun untuk menunaikan ibadat tersebut. "Syukur walaupun saya bekerja sebagai penoreh getah saya dijemput Allah menunaikan haji bersama isteri dan anak," katanya.
Pasangan warga emas Che Din Che Ahmad, 77 dan isteri Lijah Ahmad, 72 dari Kampung Tok Gadong, Dungun, pula berkata mereka mengumpul duit selama 50 tahun untuk menunaikan haji namun tidak mencukupi.
Kata tukang rumah itu beliau terpaksa menjual tanah untuk ke Tanah Suci bersama isteri.
No comments:
Post a Comment