Sunday, October 21, 2012

Semua Pelajar Sekolah Rendah Perlu Khatam Al-Quran - Menteri Besar

 


Kerajaan Terengganu akan memastikan semua pelajar di sekolah rendah di negeri ini khatam al-Quran sebelum melangkah ke tingkatan satu di sekolah menengah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, komitmen pelajar terhadap pengajian al-Quran semakin menurun bila berada di sekolah menengah akibat tugasan sekolah yang semakin bertambah.

“Saya harap ibu bapa beri tumpuan dalam hal ini dan pastikan anak-anak mereka dapat khatam sebelum habis tahun enam.

"Penghayatan al-Quran perlu diterapkan seawal mungkin, malah semua murid di Tadika Yayasan Islam Terengganu mempunyai modul khas pintar al-Quran untuk mereka hayati sebelum melangkah masuk ke sekolah kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri,  Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said.


Seramai 21,610 pelajar kelas KAFA berjaya khatam Quran tahun ini yang diadakan serentak lapan kawasan parlimen seluruh negeri dan daripada jumlah itu 1,600 pelajar telah menggunakan e-book. Seramai 21,610 pelajar Kelas al-Quran dan fardu Ain (KAFA) dari tahun satu hingga enam seluruh negeri berjaya khatam al-Quran tahun ini berbanding 20,133 pelajar tahun lalu.

Majlis khatam al-Quran telah diadakan serentak hari ini di lapan Parlimen iaitu Besut (3,186), Setiu (2,653), Kemaman (2,349), Dungun (2,555), Hulu Terenggau (1,933), Marang (2,551) dan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Batu Rakit (6,383). Menteri Besar melahirkan rasa bangga di atas pencapaian pelajar-pelajar kelas KAFA yang mampu membawa negeri ini muncul negeri terbaik untuk lima tahun berturut-turut.

“Kerajaan negeri terima peruntukan berjumlah RM36 juta setahun daripada JAKIM bagi pembiayaan kelas-kelas KAFA di seluruh negeri,” katanya. Katanya, bayangkan berapa banyak yang dibelanjakan oleh Kerajaan Pusat untuk negeri-negeri bagi memastikan pendidikan agama generasi kecil ini terus subur dijiwa mereka.

Bagi Parlimen Besut, majlis khatam berlangsung di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja membabitkan 3,186 pelajar dan perasmi ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar.

Parlimen Setiu di Masjid Bandar Permaisuri (2,653 pelajar), Parlimen Marang, di Masjid bandar Marang (2,551), Parlimen Hulu Terengganu di Masjid Sultan Mahmud Kuala Berang (1,933), Parlimen Dungun di Masjid Sultan Mahmud, Bandar Al Muktafi Billah Shah (2,555) dan Kemaman di Masjid Sultan Ahmad (2,349) oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera.

“InsayaAllah, jika kerja-kerja pembaikan Stadium Sultan Mizan selesai, tahun depan kita akan himpunkan semua pelajar seluruh negeri untuk khatam serentak di stadium itu,” katanya.

Pada majlis itu adik Nur Hidayah Azmidi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Jaya Setiu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Peperiksaan Kelas KAFA (UPKK) Peringkat Negeri yang membawa pulang wang Tunai RM500, medal dan sijil penghargaan.

Manakala adik Umairah Ramli dari SK Teluk Pasu mendapat tempat kedua dan adik Muhammad Nor Haikal Abdul Rahman dari SK Alor Peroi Besut tempat ketiga masing-masing menerima RM400 dan RM300, medal serta sijil penghargaan.

Turut menerima penghargaan adalah tujuh pelajar terbaik UPKK Peringkat Parlimen (RM200 setiap seorang) , tujuh buah sekolah terbaik UPKK (RM500) dan sekolah terbaik Khatam al-Quran (RM500) yang dimenangi SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

Hadiah-hadiah pemenang telah disampaikan oleh Menteri Besar disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Teganukita

No comments:

Post a Comment