Tuesday, October 30, 2012
Sukipt Bakal Cipta Fenomena, UMS Mendahului
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg yakin penganjuran Sukan Institusi Pengajian Tinggi (Sukipt) bakal cipta fenomena baru arena sukan negara dengan menjadikannya lebih kompetitif.
Menurutnya, penyertaan 5,000 mahasiswa dari 101 institusi pengajian tinggi (IPT) pada temasya itu, dilihat mampu memberi saingan kepada atlet negara sedia ada.
“Sukipt kali ini lebih besar berbanding penganjuran Sukan Malaysia (Sukma), jadi saya percaya lebih ramai atlet IPT bakal menyerlah dan memberi persaingan hebat kepada atlet negara. “Malah ia akan menjadi medan atlet IPTtonjolkan bakat mereka dalam acara sukan yang disertai,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Pandelela kini giat menjalani latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil bagi menghadapi Kejohanan Terjun Asia di Dubai bermula 15 hingga 25 November depan. Bagi kejohanan kali ini Pandelela enggan meletakkan sebarang sasaran.
"Jadual memang ketat dan saya cuba membahagikan masa belajar dan latihan sebaiknya," katanya yang akan mengambil bahagian dalam acara 10 meter papan anjal individu dan 10 meter papan anjal seirama.
Sementara itu Universiti Malaysia Sabah (UMS) menguasai kutipan pingat pada hari pertama Sukipt 2012 apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa hari ini. Universiti Help di tangga kedua selepas memenangi satu emas, dua perak dan satu gangsa diikuti Universiti Sains Malaysia (USM) pada kedudukan ketiga dengan satu emas dan satu perak.
Dalam acara taekwondo, satu-satunya acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Nilai, atlet UMS Raymond Toh Meng Hui beraksi cemerlang apabila meraih dua emas bagi kategori poomsae individu dan berpasukan lelaki, yang turut dianggotai Yeo Kok Siang serta Mohd Fakhrul Razi Sazzali. Bagi acara poomsae individu, Raymond, 22, memungut 7.20 mata untuk menumpaskan atlet Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Chew Wei Yan, yang memungut 7.17 mata manakala pingat gangsa milik Too Lap Weng dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan 7.13 mata.
"Saya bersyukur dan sangat berpuas hati dengan prestasi hari ini. Sasaran saya selepas ini ialah meraih pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean (SUA) di Laos pada Disember depan. "Namun, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum bertanding di Laos," kata Raymond yang mula aktif acara poomsae sejak Februari lepas di bawah bimbingan jurulatih Lee Min Hee dari Korea Selatan.
Dalam kategori poomsae berpasukan, trio UMS meraih tempat pertama dengan pungutan 7.53 mata, mengetepikan cabaran Universiti Help yang memperoleh 6.27 mata manakala atlet Universiti Teknologi Mara (UiTM) di tangga ketiga dengan 6.24 mata. Raymond, pelajar ijazah sarjana muda jurusan sains sosial UMS berkata beliau juga menyasar untuk meraih pingat emas dalam acara poomsae berpasukan pada temasya SUA di Laos kelak.
Sebanyak 10 pingat emas ditawarkan pada hari kedua Sukipt esok, yang melibatkan lapan saingan akhir dalam acara renang dan dua bagi tenpin boling.
No comments:
Post a Comment