Wednesday, October 24, 2012

Taman Bencah Setiu Sesuai Dijadikan Destinasi Eko-pelancongan

Tanah Bencah Setiu di Terengganu dilihat berpotensi dijadikan destinasi eko-pelancongan yang mampu menjana ekonomi penduduk setempat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia Datuk Dr Dionysius S.K.Sharma.

Beliau berkata pihaknya berpendapat satu strategi eko-pelancongan harus dirancang untuk kawasan itu yang mempunyai pelbagai jenis flora dan fauna termasuk tuntung laut.

Sharma menggesa kerajaan negeri mewartakan kawasan Tanah Bencah Setiu sebagai 'taman negeri'.


"Untuk perlindungan jangka panjang, Tanah Bencah Setiu perlu diwartakan sebagai koridor ekologi kerana kawasan ini berpotensi dikembangkan secara lestari," katanyaselepas majlis tayangan video bertajuk 'Setiu Wetlands: Nature's Jewel' terbitan WWF-Malaysia di Petaling Jaya semalam.

Keindahan kawasan itu yang bercirikan sungai, laguna dan pantai serta habitat semula jadi unik mempunyai daya tarikan tersendiri khususnya bagi pelancong yang cintakan alam, kata Sharma.

Mengulas lanjut, pegawai WWF Malaysia itu berkata pelbagai aktiviti berasaskan eko-pelancongan boleh dilakukan di kawasan itu, seperti pelayaran persiaran bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan Sungai Setiu.

Beliau turut melontarkan idea supaya kegiatan inap desa dibangunkan sebagai tarikan untuk pelancong menyertai aktiviti masyarakat seperti pembuatan makanan tempatan berasaskan ikan.

Sharma berkata WWF-Malaysia akan terus membantu dengan kajian dan penyelidikan agar pelaksanaan taman negeri seperti yang dicadangkan dapat memanfaatkan semua pihak kelak.

"WWF-Malaysia turut bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu dalam kajian dan penyelidikan bertujuan memberi pengetahuan kepada pihak berkepentingan mengenai ancaman biologi dan ekologi di kawasan itu", katanya.

No comments:

Post a Comment