Wednesday, October 24, 2012

Biasiswa Untuk Pemenang Emas SUKIPT 2012

Kontijen UiTM kini mendahului kutipan pingat dengan 17 emas, tiga perak dan 10 gangsa.
Pemenang pingat emas Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 bakal ditawarkan biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr. Shaharudin Ismail berkata, bagi pelajar tahun akhir yang meraih emas pada temasya berkenaan pula, mereka tidak akan ditawarkan biasiswa, sebaliknya diberikan insentif lain. "Bagi pelajar separuh masa, kita merancang memberikan skim khas kepada mereka.

Kita harap tidak akan ada keciciran terutama pelajar Kolej Komuniti. "Mereka juga berhak mendapat biasiswa menyambung pengajian di politeknik," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat SUKIPT 2012 di Hotel Olimpik, Kuala Lumpur semalam.


SUKIPT 2012, temasya sukan dwitahunan yang julung-julung kali diadakan, bermula Ahad ini sehingga 11 November depan dan ia menawarkan sebanyak 213 pingat emas.

Mengulas lanjut, Shaharudin berkata, pemberian biasiswa itu akan bergantung kepada pencapaian akademik dan sukan pelajar terbabit sepanjang tempoh pengajian mereka.

"Mereka perlu cemerlang dalam akademik dan terus aktif dalam sukan, tidak boleh bergantung kepada satu pencapaian sahaja kecuali mereka mengalami kecederaan atau masalah kesihatan," katanya.

Beliau berkata, bagi pemenang pingat perak dan gangsa, mereka akan menerima insentif lain yang akan diumumkan kemudian. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka merasmikan SUKIPT 2012 di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada Ahad ini.

Shaharudin berkata, seramai 15,000 peserta yang terdiri daripada atlet, pegawai dan sukarelawan akan terlibat sepanjang temasya itu, yang menampilkan penyertaan 101 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta Kolej Komuniti.


Temasya itu akan mempertandingkan 15 acara sukan, termasuk tujuh kejohanan utama kementerian yang diadakan sejak Mac lepas.

Tujuh kejohanan itu ialah Kejohanan Golf IPT, Kejohanan Ping Pong IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi, Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri, Kejohanan Bola Keranjang 3 on 3 IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi, Kejohanan Futsal IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi, Perlumbaan Bot Varsiti dan Kejohanan Liga Bola Sepak IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi. Setakat ini, UiTM mendahului kontinjen lain dengan kutipan 17 pingat emas, tiga perak dan 10 gangsa.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di tempat kedua selepas mengumpul empat pingat emas, empat perak serta tiga gangsa manakala Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ketiga dengan empat emas dan tiga perak.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment