Wednesday, October 10, 2012
Teknologi Terkini, Telaga Minyak Baru Panjangkan Hayat Petroleum Terengganu
Penggunaan teknologi terkini dan penemuan telaga minyak baru di Terengganu mampu memanjangkan jangka hayat industri petroleum di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah berkata beliau yakin dengan teknologi baru dan penemuan telaga-telaga minyak baru selain telaga minyak lama, adalah dijangkakan industri itu akan berterusan untuk tempoh agak lama dan simpanan gas pula dijangka akan berpanjangan.
Bagaimanapun, katanya, sehingga sekarang tiada pihak yang dapat menentukan dengan tepat bila sumber petroleum akan habis dan selama mana industri itu mampu bertahan di Terengganu.
"Pada 1974 dikatakan (bekalan minyak yang ada) hanya mampu bertahan sehingga 25 tahun tetapi sehingga kini ia masih berjalan dengan baik dan telaga minyak baru ditemui dari semasa ke semasa oleh Petronas," katanya.
“Sebagaimana yang kita ketahui , industri minyak dan gas serta industri sampingannya merupakan industri terpenting yang menjadi peneraju serta penyumbang utama pendapatan negeri khususnya, dan pencapaian negara berekonomi tinggi amnya, menjelang 2020 nanti.
“Malah, industri ini dijangka berupaya menyumbang sekitar 14 peratus kepada pendapatan kasar negara menjelang 2020 dengan pendapatan per kapitanya sebanyak RM7,600 dari RM48,000, iaitu jumlah yang diperlukan bagi mencapai tahap negara ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.
Pada 2008, Petronas menyumbang lebih RM68 bilion kpada sumber pendapatan negara yang mana ia merupakan 44 peratus dari keseluruhan pendapatan Kerajaan Pusat pada tahun itu.
Sementara pada 2009, industri minyak, gas dan tenaga secara bersama menyumbang sebanyak RM127 bilion atau 19 peratus dari keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar .
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Minyak dan Gas Terengganu anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Akademi Binaan Wilayah Timur dan Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) di Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir Pengerusi CIDB Datuk Ir Hamzah Hasan.
Seramai 300 peserta seminar yang terdiri daripada penggiat industri pembinaan dan pelajar yang mengikuti latihan kemahiran dalam bidang berkaitan minyak, gas serta petrokimia dari Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur turut hadir.
Mengenai Taman Polimer Kertih (KPP), Mazlan berkata KPP mampu mewujudkan lebih 8,000 pekerjaan baru kepada penduduk negara ini dan Terengganu khasnya, menjelang 2020.
Katanya, KPP yang dibangunkan di Kompleks Industri Petroleum Petronas(PPIC) yang memfokuskan pembuatan produk berasaskan etilena berkembang maju dengan sokongan hasil penyelidikan dan juga pembangunan (R&D) bertaraf dunia oleh Pusat Teknologi Polimer Petronas (PPTC).
“Sebagai pusat teknologi yang berpandukan pasaran, ianya akan mempertingkatkan tahap perkhidmatan teknikal pelanggan, di samping membantu dari segi penambahbaikan dan pembangunan aplikasi polimer.
“Pusat ini juga akan mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara para pengeluar polimer dan pengusaha produk plastic di KPP dalam usaha meningkatkan standard bagi industri plastik dan polimer negara ini,” katanya.
Mazlan berkata, seminar anjuran CIDB berkenaan amat penting kepada Terengganu selaku pengeluar utama minyak dan gas di negara ini bagi memastikan penggiat sektor itu dapat merebut peluang dan mendapat maklumat mengenai industri itu.
No comments:
Post a Comment