Sunday, October 21, 2012

Tempat Kedua, Hadiah Hari Jadi Bermakna Buat Zulfahmi

 Pelumba AirAsia-SIC-Ajo Team, Zulfahmi Khairuddin (dua, kanan) ketika beraksi pada perlumbaan Moto3 saingan Malaysian Motocycle Grand Prix 2012 di Sepang hari ini.
Selepas hampir tiga tahun menceburi dunia perlumbaan berprestij dunia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin mencipta sejarah permotoran tanah air apabila sasaran untuk mencatat kejayaan podium tercapai dengan kedudukan kedua pada perlumbaan pusingan 16 MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Kejayaan pelumba yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-21 pada pada Sabtu (semalam) merupakan hadiah kemenangan paling bermakna buat Zulfahmi malah bagi seluruh peminat-peminatnya di Malaysia.


Zulfahmi menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Jerman, Sandro Cortese dari pasukan Red Bull KTM Ajo (146.5 40'54.123), di depan Jonas Folger (Jer) dari pasukan Mapfre Aspar Team Moto3.

Bermula di petak pertama, pelumba kelahiran Banting Selangor ini mula melakukan pecutan di selekoh pertama, namun berjaya di pintas oleh Folger untuk mendahului kedudukan pertama.

Namun Zulfahmi tidak berputus asa untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok terbaik dengan memecut jentera KTM ke tahap maksimum.

"Sudah pasti saya terlalu gembira dengan kejayaan menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ia merupakan satu pencapaian yang paling bermakna bagi saya. Saya berterima kasih dengan sokongan pengunjung yang datang ke litar hari ini.

"Tidak lupa juga kepada jentera KTM yang bersama mengharungi saat sempurna minggu ini," jelasnya selepas perlumbaan. Menurut Zulfahmi kejayaan ini juga turut memberi semangat baru untuk mengharungi dua lagi baki perlumbaan di Australia (28 Oktober) dan Valencia (11 Nov) ini.

Dengan itu, Zulfahmi berjaya mengutip 20 mata pada perlumbaan ini sekaligus mengumpul 112 mata keseluruhan dengan berada di kedudukan ketujuh, di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo (118), manakala Cortese menguasai di tangga pertama, dengan 280 mata, Luis Salom dari pasukan RW Racing GP (207) dan ketiga pelumba pasukan Blusens Avintia (199 mata).


No comments:

Post a Comment