Monday, October 22, 2012

Wanita Thai Juara Kejohanan Kuda Lasak Terengganu


 
Penunggang wanita dari Thailand Wipawan Pawitayalarp muncul juara dalam ejohanan Kuda Lasak Terengganu Piala Sultan Mizan 2012 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu.

Kehebatan penunggang berusia 38 tahun dari pasukan The Horses ini ternyata sukar digugat, sekali gus membolehkannya mempertahankan kejuaraan pada tahun ini.

Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai berjumlah AS$10,000 (RM30,500) dan seutas jam tangan bernilai RM25,000.



Wipawan yang menunggang 'Mulawa Angelus' berjaya mengetepikan 51 pesaing lain dalam acara 120 kilometer dengan catatan masa 7 jam 18 minit 8 saat. Saingan yang bermula pukul 5 petang semalam dan berakhir pukul 4 pagi ini turut disertai penunggang dari Singapura, Hong Kong dan Indonesia.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Tempat kedua menjadi milik penunggang dari State of Terengganu Endurance Team (STET), Mohammad Fuad Hashim dengan catatan masa 7 jam 28 minit 38 saat manakala tempat ketiga diraih Mohd Bukhari Rozali (7:50:45s).

Muhammad Fuad membawa pulang wang tunai AS$7,000 (RM21,350) selain hadiah tambahan sebanyak RM21,000 apabila kudanya, Thay Lover dipilih Kuda Terbaik manakala Mohd Bukhari, dari pasukan Royal Terengganu Endurance Stables (RTES) pula menerima AS$5,000 (RM15,250).

Semalam Sultan Mizan Zainal Abidin mengetuai cabaran dalam kejohanan itu dengan menunggang 'RTES Annaversary'.

Turut serta ialah anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail yang menunggang 'Melchior D'Ecouves'.

No comments:

Post a Comment