Wednesday, October 31, 2012

Tergamak Bakar Rumah Selepas Ibu Enggan Beri Wang

Seorang ibu tidak menyangka keputusan nekadnya yang enggan memberikan sejumlah wang diminta menyebabkan anak lelakinya seolah-olah ‘dirasuk hantu’ apabila tergamak membakar tilam di dalam biliknya sebagai permulaan untuk membakar keseluruhan rumah dalam satu kejadian amuk di Lorong Kenanga Off Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, suspek berusia 28 tahun telah mengamuk dengan membakar tilam katil di dalam bilik mangsa sebelum sempat dipadamkan oleh salah seorang ahli keluarga yang berada di rumah berkenaan semasa kejadian.

“Siasatan mendapati suspek yang turut memiliki rekod jenayah dadah sebelum ini cuba membakar rumah selepas tidak puas hati apabila kehendaknya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan walaupun pada pagi hari kejadian, mangsa telah memberikan RM20 kepadanya.

“Mangsa yang dalam ketakutan keluar dari rumah itu mencari tempat selamat untuk menelefon salah seorang anak lelakinya yang tinggal di Jalan Ibrahim, di sini, bagi memaklumkan kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurut Zamri, disebabkan terlalu takut melihat tilam biliknya dibakar walaupun sudah berjaya dipadamkan, mangsa nekad menelefon anggota polis untuk meminta membawa suspek ke balai polis.

“Hasil siasatan awal, mangsa mengakui suspek kerap mengamuk sebelum ini untuk meminta duit bagi membeli dadah, selain itu, suspek telah banyak melakukan kerosakan di dalam rumah.

“Suspek juga telah banyak kali dimasukkan ke dalam lokap akibat kesalahan penyalahgunaan dadah sebelum ini,” katanya. Zamri berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan

No comments:

Post a Comment