“Sumber utama adalah minyak dan gas diikuti kilang besi waja yang akan
bertambah satu lagi bulan depan menjadi tiga kilang selain dua sumber baru
iaitu industri berasaskan biojisim dan sektor pelancongan di Tasik
Kenyir, pastinya membuka peluang ribuan pekerjaan kepada anak tempatan...”
- Datuk Seri Ahmad Said
Tidak ada sebab lagi bagi rakyat negeri ini marahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri kerana berjaya menyediakan segala keperluan yang rakyat sama ada rumah, tanah, bantuan bulanan, bantuan pelajaran, e-book, dana raya, dana remaja dan banyak lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pada setiap perjumpaan bersama rakyat, beliau sering bertanya rakyat apa lagi yang mereka mahu.
"(Dan)hari ini saya nak tanya sekali lagi apa lagi yang kerajaan boleh bantu?” ujarnya dihadapan kira-kira 1,000 anggota Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) seluruh negeri ketika berucap pada majlis perjumpaan APMT bersama Menteri Besar di Dewan Besar Wisma Darul Iman semalam.
Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat dan mempunyai empat sumber utama untuk membiayai pembangunan rakyat pada masa hadapan.
"Saya harap kita sama-sama berperanan memberi penjelasan dan membuka minda masyarakat agar bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan BN yang tidak pernah berhenti merancang dan menghulur bantuan,” katanya.
“Sumber utama adalah minyak dan gas diikuti kilang besi waja yang akan bertambah satu lagi bulan depan menjadi tiga kilang selain dua sumber baru iaitu industri berasaskan biojisim dan sektor pelancongan di Tasik Kenyir, pastinya membuka peluang ribuan pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.
Malah katanya, dalam tempoh empat tahun kerajaan berjaya mengagihkan 19,000 lot tapak perumahan dan kawasan pertanian kepada rakyat yang memerlukan.
“Kita negeri pertama perkenalkan dana raya dan dana remaja dan kini diikuti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang juga diagihkan kepada remaja berusia 21 tahun ke atas oleh Kerajaan Pusat,” katanya.
Sambil itu beliau mengatakan kerajaan BN adalah yang terbaik sentiasa menjaga kebajikan rakyat bermula dari buaian hingga ke liang lahat.
Berikutan itu. Ahmad Said mengajak rakyat sama-sama bergerak sederap, berjalan seiring dan jangan sekali-kali mempertikai calon yang ditentukan oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti pada pilihan raya akan datang.
Yang penting, berilah sokongan agar BN terus berkuasa di negara ini sambil semua rakyat perlu sentiasa bermuhasabah diri, insaf dan bekerja keras menentang usaha sesetengah pihak yang suka mempermainkan hukum Allah dengan mengeluarkan fatwa mengikut naluri sendiri.
“Bulatkan tekad dan ikhlas dalam perjuangan menegakkan kebenaran serta redha dengan qada’ dan qadar-Nya,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment