Seorang pesara berumur 60-an terpaksa merayu agar polis menangkap anaknya akibat tidak tahan kerana sering diugut dengan senjata tajam oleh anaknya itu demi membeli dadah.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bapa kepada penagih dadah itu datang ke Bahagian Narkotik Daerah meminta agar pihak polis menahan anaknya yang bertindak keterlaluan apabila tergamak mengugut untuk mencederakan ahli keluarga termasuk bapa dan ibunya sendiri sekiranya tidak memberi wang kepadanya.
Menurutnya, bukan itu sahaja, anak warga emas yang berumur 20 tahun itu juga bertindak menjual pelbagai peralatan rumah semata-mata untuk membeli dadah.
“Akibat tidak tahan dengan perangai buruk anak lelakinya itu, dia meminta polis me-ngambil tindakan,” katanya.
Kamaruddin berkata, susulan daripada aduan itu polis telah membuat serbuan di rumah warga emas tersebut di kawasan Kampung Raja dan berjaya memberkas suspek di depan rumahnya.
Menyedari kedatangan polis, suspek bertindak membuang sesuatu dari tangannya tetapi sempat dilihat pihak polis.
Pemeriksaan lanjut mendapati objek yang dibuangnya adalah bungkusan mengandungi 100 biji dipercayai dadah jenis methampethamine (pil kuda).
“Suspek yang dipercayai sudah lama terlibat dalam penyalahgunaan dadah bekerja sebagai buruh pemesin rumput dan masih bujang itu ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, Kamaruddin menasihatkan ibu bapa agar jangan melindungi anak masing-masing sekiranya menyedari ada yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Katanya, jika ibu bapa mendapati anak mereka terlibat dengan dadah lapor segera sebelum terlambat dan jangan tunggu sehingga anak bertindak liar termasuk mahu mencederakan ahli keluarga masing-masing.
Sementara itu, Kamaruddin berkata, beberapa operasi telah dilakukan sepanjang musim perayaan Aidiladha yang membabitkan sebanyak 424 kenderaan dan 501 individu diperiksa, 57 saman dikeluarkan manakala 458 individu diberi nasihat dan teguran.
No comments:
Post a Comment