Wednesday, October 31, 2012

BRIM 2.0: Perlu Daftar Jika Bertukar Alamat

Mendaftar Untuk Menerima BRIM pertama di Batu Rakit sebelum ini.
Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bertukar alamat atau kematian ketua isi rumah perlu mendaftar semula untuk membolehkan mereka menerima bantuan pusingan kedua yang akan diagihkan awal tahun depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di sini pada Selasa berkata mereka yang terlibat serta pemohon baru boleh mendaftar secara atas talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2.0 apabila pendaftaran dibuka 1 Nov nanti.

Bagaimanapun, penerima BR1M sedia ada yang lain tidak perlu mendaftar semula. Menurut kenyataan itu, borang permohonan boleh didapati secara percuma di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan serta agensi kerajaan atau dimuat turun melalui laman sesawang www.hasil.gov.my.


Kenyataan itu turut menerangkan kriteria penerima BR1M yang layak memohon bantuan RM500 iaitu ketua isi rumah (lelaki atau perempuan) berpendapatan kasar bulanan RM3,000 ke bawah.

Ia merangkumi individu yang telah berkahwin, termasuk yang tinggal bersama ibu bapa; ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah serta individu bujang yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah di dalam rumah yang sama.

Warga emas sebatang kara berumur 60 tahun ke atas (lahir 1953 atau sebelumnya) dengan pendapatan kasar bulanan RM3,000 ke bawah juga layak memohon.

Bantuan tunai RM250 pula layak dipohon individu bujang termasuk balu, janda atau duda berumur 21 tahun ke atas (lahir 1992 atau sebelumnya), tidak mempunyai tanggungan dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 ke bawah.

Pengumuman pusingan kedua BR1M dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 September lepas.

Ia dijangka memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

No comments:

Post a Comment