Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan mengenal pasti 100 keluarga di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir dekat sini bagi melaksanakan kajian untuk menaik taraf kehidupan golongan sasar.
Pengarah Pusat Pembangunan Sosioekonomi UMT Prof Ibrahim Mamat berkata program itu meliputi tujuh kategori golongan sasar iaitu ibu tunggal, orang kurang upaya, warga berumur 60 tahun ke atas, penganggur, pesakit terlantar, miskin dan miskin tegar.
"Kita akan kaji apa keperluan sebenarnya golongan ini, setelah kita tahu kita akan sediakan keperluan itu. Kita ingin ubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik atau mampu berdikari," katanya di Kuala Terengganu.
Menurutnya program itu dijangka mengambil masa yang panjang dan jika berjaya akan diteruskan ke kampung lain.
Katanya projek itu mendapat sokongan kerajaan negeri, selain menerima sedikit dana daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Beliau berkata setakat ini sambutan yang diterima daripada penduduk adalah positif dan beliau juga yakin dapat membantu golongan sasar keluar daripada kepompong kemiskinan.
Sementara itu, seorang peserta program, Anis Fadilah Awang Long, 41, berkata sejak bergelar ibu tunggal selepas kematian suami dua tahun lalu, hidupnya agak sukar.
"Saya mempunyai lima anak yang berumur antara 16 dan dua tahun. Seorang sekolah menengah dan tiga sekolah rendah yang memerlukan perbelanjaan yang agak besar setiap hari," katanya.
Beliau yang bekerja sebagai pembungkus keropok kering dengan ibu mentuanya memperolehi pendapatan antara RM250 dan RM300 sebulan.
Katanya sekalipun turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan, jumlah itu masih belum cukup untuk menampung keperluan hidupnya sekeluarga kerana kos sara hidup yang semakin meningkat.
Seorang lagi peserta, Maslinda Abdul Manan, 38, berkata tumpuannya selaku ibu tunggal sekarang adalah memastikan lima anaknya mendapat pendidikan setinggi mungkin.
Beliau yang memperolehi pendapatan RM350 sebulan menerusi kerja membersihkan ikan untuk dijadikan keropok, berkata sejak diceraikan suami enam tahun lepas, beliau menanggung perbelanjaan keluarga sendirian.
"Setiap hari terpaksa menyediakan wang untuk anak-anak ke sekolah. Kadang-kadang anak-anak mengerti jika saya tidak mampu menyediakan keperluan untuk mereka seperti anak orang lain," katanya yang bersedia menerima sebarang bentuk bantuan termasuk latihan kemahiran bagi meningkatkan taraf hidupnya.
No comments:
Post a Comment