Wednesday, October 24, 2012

Usaha Lahirkan Ulul Albab Perlu Diteruskan - Sultan Mizan

Sultan Mizan berkenan menyampaikan sijil kepada seorang peserta pada majlis khatan program pintar Al-Quran 2012 kanak-kanak tadika Negeri Terengganu di Stadium tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini menyeru semua pihak terutama ibu bapa dan guru untuk terus mengasuh kanak-kanak menghayati kehidupan berlandaskan Al-Quran seterusnya melahirkan generasi Ulul Albab.

Baginda turut menasihatkan ibu bapa supaya jangan mengabaikan pendidikan Al-Quran terhadap anak-anak dengan melepaskan tanggungjawab itu kepada guru semata-mata.


"Beta percaya dan yakin, penekanan budaya cakna dan celik Al-Quran ini akan dapat melahirkan ummah berketrampilan dan mempunyai jati diri yang tinggi, namun usaha ini memerlukan komitmen banyak pihak," titah baginda ketika merasmikan Majlis Khatam Al-Quran di Stadium Tertutup Gong Badak, di Kuala Terengganu, semalam. Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Sultan Mizan berharap usaha mendidik golongan itu dengan Al-Quran akan berterusan dengan mengadakan perubahan dan penambahbaikan dari masa ke semasa demi memartabatkan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

"Kita semua berbangga dan kagum apabila seramai 225 murid tadika YIT berjaya menghafaz surah Yaasin beserta terjemahan dengan begitu baik sekali," titah Baginda.

Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.

Seramai, 9,639 kanak-kanak tadika berusia 5 dan 6 tahun menyertai program yang diperkenalkan Yayasan Islam Terengganu (YIT) sejak 2006.

Seramai 9,639 murid pra-sekolah dan tadika dari empat agensi kerajaan menyertai majlis itu, dan daripada jumlah itu 4,365 adalah murid pra-sekolah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, 2,862 murid tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), 2,127 murid tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan 285 dari tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Berdasarkan rekod, jumlah penyertaan kanak-kanak terhadap program itu semakin meningkat pada setiap tahun berikutan mendapat sokongan dan komiten padu daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa, guru dan pemimpin setempat.

Pengarah YIT, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata program yang mula diperkenalkan pada 2006 itu, hanya 937 kanak-kanak dari tadika YIT yang menyertainya.

“Setahun kemudian iaitu 2007, tadika JPNT dan Kemas bersetuju bersama-sama tadika YIT menyertai program itu dengan jumlah penyertaan seramai 2,010 kanak-kanak

“Pada 2008 pula, tadika JPIN menyatakan persetujuan ingin bersama-sama tiga tadika lain dengan menjadikan jumlah 2,660 kanak-kanak kesemuanya,” katanya.

Menurutnya, apa yang membanggakan jumlah itu terus meningkatkan dengan penglibatan keempat –empat tadika iatu seramai 4,622 kanak-kanak pada 2009; manakala 6,246 kanak-kanak (2010) dan pada tahun lalu pula, seramai 7,930 kanak-kanak berjaya khatam al-Quran.

“Bermula awal persekolahan lagi, mereka mula mengaji dengan bantuan guru tadika masing-masing bagi menguasai al-Quran serta mengamalkan perkara-perkara asas sebagai seorang Islam,” katanya.

“Pihak kami yakin dengan adanya program seumpama ini, setiap pelajar di Terengganu mahir membaca al-Quran sebelum memasuki sekolah rendah dan menengah,” katanya.



No comments:

Post a Comment