Seorang wanita warga emas di Jalan Sekolah Kampung Batu Tiong, Dungun di sini ditembak jiranya Selasa lepas kerana menyangka wanita itu seekor kera.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner, K. Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, wanita berusia 60 tahun itu berada di depan rumahnya apabila dia terdengar bunyi tembakan dan terasa sakit pada dadanya.
"Tembakan dilepaskan jiran mangsa yang juga seorang pengawal keselamatan. Setelah mendengar mangsa mengerang kesakitan, suspek berusia 60 tahun itu bergegas ke rumah mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Dungun untuk rawatan.
"Suspek marahkan sekumpulan kera yang selalu merosakkan tanamannya," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Manoharan berkata, akibat tembakan tersebut, mangsa mengalami cedera di dada terkena peluru penabur daripada senapang patah milik suspek.
Beliau berkata, ketika mangsa mendapatkan rawatan pihak hospital mendapati ada dua kesan terkena tembakan dan terbakar pada bahagian dada mangsa tetapi tiada kesan peluru termasuk ke dalam.
"Melihat kesan itu doktor yang merawat mangsa membuat satu laporan polis pada kira-kira pukul 11.50 pagi semalam dan mangsa masih dirawat di hospital.
"Sehubungan itu, pihak polis memanggil suspek untuk siasatan lanjut dan merampas sepucuk senapang patah yang digunakannya," katanya.
Manoharan berkata senjata api berkenaan milik sebuah syarikat keselamatan dan berlesen, yang sepatutnya digunakan untuk menjaga keselamatan diri dan harta ketika bertugas dan tidak boleh digunakan bagi tujuan persendirian.
No comments:
Post a Comment