Friday, October 12, 2012

Terengganu River Cruise Mampu Jana Ppendapatan RM30,000 Sebulan


Terengganu River Cruise (TRC) yang menyediakan perkhidmatan menyusuri sungai Terengganu di bawah program Payang Walk mampu menjana pendapatan kira-kira RM30,000 sebulan.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) Wan Mohd Sofian Wan Ishak berkata melalui program TRC itu PPNT menyediakan dua bot penambang kayu tradisional bagi membawa pelancong menikmati keindahan sungai utama negeri itu.

"Bot TRC berkenaan mampu memuatkan seramai 22 pelancong dan ia mempunyai saiz sekali ganda lebih besar daripada bot penambang yang biasa digunakan di jeti Syahbandar

 "TRC mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menggunakan bot kayu tradisional manakala projek bot susur sungai lain menggunakan bot gentian kaca," katanya smalam.

Beliau berkata PPNT menyasarkan lebih 1,000 pelancong dalam dan luar negara setiap tahun menggunakan perkhidmatan ini dan bekerja rapat dengan agensi pelancongan, hotel dan inap desa bagi mempromosikan TRC.

Wan Mohd Sofian berkata dalam perjalanan menyusuri persisir Sungai Terengganu selama sejam, pelancong akan disajikan dengan pemandangan bandar Kuala Terengganu, keindahan malam Pulau Duyong, Kampung Cina serta Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam (TTI).

Beliau berkata bagi melengkapkan lagi Payang Walk sebagai destinasi pilihan, PPNT turut menyediakan pakej tempahan eksklusif makan malam di atas bot.

"Dengan bayaran RM60 bagi dewasa, RM40 bagi pelajar atau kanak-kanak lapan hingga 12 tahun, mereka boleh menikmati hidangan makanan barat, melayu dan juga barbekiu. TRC beroperasi daripada pukul 6 petang sehingga 12 malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap minggu dengan bayaran RM15 bagi dewasa dan RM10 bagi pelajar atau kanak-kanak antara lapan dan 12 tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment