Wednesday, October 3, 2012

YIT Rancang Bina Dua Lagi Tadika Untuk Tampung Keperluan

Yayasan Islam Terengganu (YIT) merancang untuk membina dua lagi taman didikan kanak-kanak atau tadika bagi menampung keperluan yang semakin meningkat.

Pengarahnya Md Kamaru Al Amin Ismail berkata tadika terbabit akan dibina di Kijal, Kemaman dan Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun.

"Kita mengehadkan 30 murid bagi setiap kelas kerana mahukan tumpuan dan fokus antara guru dan pelajar, namun dengan pembukaan cawangan baru nanti diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai murid untuk belajar di tadika YIT," katanya kepada pemberita, semalam.


Katanya setakat ini terdapat 14 cawangan tadika YIT di seluruh negeri dengan 3,375 murid yang dibimbing 200 guru. Sementara itu, Md Kamaru berkata YIT mempergiatkan usaha memastikan semua guru tadika miliknya memiliki diploma pendidikan prasekolah.

"Dengan pengkhususan diploma ini nanti, kita percaya YIT akan terus menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan pertama sebelum menjejak kaki ke alam persekolahan," katanya.

Katanya usaha itu turut meliputi guru tadika yang mempunyai ijazah dan diploma dalam bidang lain. YIT ada 83 guru tadika berkelulusan ijazah serta diploma dan daripada jumlah itu 20 sudah selesai pengajian diploma pendidikan prasekolah, katanya.

Menurutnya pada masa ini 43 guru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sedang mengikuti program itu di Institut Perguruan Datuk Razali di Kuala Terengganu.

Program menyambung pengajian ini diadakan secara berperingkat dengan menggunakan sistem giliran dalam kalangan guru bertugas, katanya.

No comments:

Post a Comment