Tuesday, October 2, 2012

Anuar Fokus Tawan Kejohanan Asia Menjelang LTdL 2013

Pelumba basikal negara Anuar Manan menumpukan perhatian untuk menawan semua kejohanan di Asia sebagai persiapan ke kejohanan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013

"Setakat ini saya baru saja menamatkan kejohanan lumba basikal di China," katanya di Kuala Terengganu hari ini.

Katanya menerusi perlumbaan yang disertainya sebelum LTdL 2013 berlangsung, beliau mahu memantapkan kayuhan bagi memastikan jersi 'Raja Pecut' kembali menjadi miliknya.


Anuar yang kini mewakili HK Champion System dari Hong Kong, memenangi jersi itu pada kejohanan lepas.

Pencapaian terbaik beliau pada LTdL lepas ialah menduduki tempat ketiga pada peringkat ketiga dari Melaka ke Parit Sulong. Pelumba berusia 26 yang berasal dari Kuala Ibai itu pernah muncul juara 'point clasification' pada LTDL 2010 ketika mewakili pasukan Guemsan Ginseng Asia.

Pada kejohanan LTDL tahun depan yang dijadual dari 20 Feb hingga 2 Mac, Terengganu sekali lagi dipilih sebagai venue penutup dengan empat peringkat terakhir berlangsung di negeri itu.

Empat peringkat berkenaan melibatkan laluan peringkat ketujuh Kuantan-Dungun (149.8km), peringkat kelapan Kuala Terengganu-Tanah Merah (164.5km), peringkat kesembilan Pasir Putih-Kuala Berang (123.6km) dan peringkat akhir Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km). Sebanyak 22 pasukan dijangka menyertai kejohanan itu yang akan bermula di Kangar, Perlis.

No comments:

Post a Comment