Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu akan menganjurkan pertandingan Terengganu Motour Media Beach Challenge 2012, pada 29 Nov.
Acara berbentuk explorasi yang memasuki edisi tahun ini akan diadakan di Pesisiran Pantai Batu Burok, di Kuala Terengganu.
Pengarahnya Mohd Sobri Zakaria berkata 10 pasukan akan mengambil bahagian dalam acara itu melibatkan pengamal media di Terengganu antaranya Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu (RTM), Media Prima, Kumpulan Utusan, Bernama dan Sinar Harian.
Katanya para peserta perlu menyelesaikan tujuh tugasan dengan setiap pasukan perlu melalui cabaran di sepanjang pesisiran pantai.
"Pada tahun ini, melibatkan lokasi dan sempena acara yang berlainan iaitu sempena Rip Curl Pro Surf Terengganu 2012 yang berlangsung di Pantai Batu Burok berbanding sebelum ini, diadakan sempena acara Monsoon Cup di Pulau Duyong," katanya dalam kenyataan kelmarin.
Program tersebut juga bertujuan mempromosikan Kempen 1Malaysia Bersih dan Indah Jelajah Terengganu 2012 yang merupakan antara program utama Kementerian Pelancongan Malaysia, menurut kenyataan itu.
No comments:
Post a Comment