Saturday, November 3, 2012
1,700 Rakyat Terengganu Berikrar Menderma Organ
Jabatan Kesihatan negeri merekodkan hanya kira-kira 1,700 rakyat di negeri ini telah berikrar sebagai penderma organ sehingga Julai lalu.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Dr. Mohamad Omar berkata, bilangan itu agak rendah namun meningkat setiap tahun sejak 2006 walaupun penambahan dengan angka yang kecil.
Katanya, pada tahun ini sehingga Julai, sebanyak 422 orang telah mendaftar sebagai penderma organ manakala sepanjang tahun tahun lalu seramai 536 pengikrar.
"Kekurangan penderma organ di negeri ini disebabkan beberapa faktor termasuk penerimaan masyarakat terhadap pendermaan dan pelbagai pendapat terutama dari aspek agama menyebabkan mereka sukar berbuat demikian.
"Walaupun pelbagai kempen kesedaran pendermaan organ giat dilakukan tetapi penerimaan masyarakat terhadap pendermaan organ masih kurang," katanya.
Beliau berucap dalam Program Sambutan Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, kelmarin.
Program itu dirasmikan isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud yang turut dihadiri Pemangku Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Nor Azimi Yunus dan Pengerusi Tissue and Organ Procurement Team (Top Team) HSNZ, Dr. Aisai Abdul Rahman.
Menurut Dr. Mohamad, senarai pesakit yang menunggu organ di negara ini semakin meningkat sedangkan peningkatan terhadap penderma organ amat perlahan.
Katanya, sehingga Julai lalu, lebih 15,400 pesakit menunggu pemindahan buah pinggang, tiga pesakit untuk pemindahan jantung dan seorang pesakit memerlukan pemindahan paru-paru.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment