Tuesday, November 27, 2012

55 Anggota JPAM Terima Tauliah, Pingat

Seramai 55 pegawai dan angota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di negeri ini menerima pentauliahan dan pingat oleh jabatan itu semalam sebagai menghargai peranan dan khidmat mereka dalam masyarakat.

Pada Majlis Pemakaian Pangkat JPAM 2012 di Ri-Yaz Heritage Resort &Spa itu, Ketua Pengarah JPAM, Datuk Sulaiman Keling menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 11 daripada mereka, selaku pegawai bersekutu JPAM yang baru lantik.

Mereka merupakan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam kegiatan JPAM di pelbagai peringkat manakala 24 anggota menerima surat lantikan pegawai tak bertauliah di samping 20 orang pegawai dan angota dianugerahkan pingat.

Berucap pada majlis tersebut, Sulaiman berkata, majlis itu sebagai satu pengiktirafan kepada para anggota yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Pelantikan pegawai bersekutu dari pelbagai latar belakang dan kemahiran berupaya membantu jabatan dalam memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan melalui input dan khidmat nasihat yang diberikan.

"Pegawai tak bertauliah pula memainkan peranan penting dalam menyelia anggota yang bertugas di lapangan dan menjadi wakil jabatan semasa operasi dan latihan.

Pentauliahan dan penganugerahan ini diharap terus membakar semangat mereka," katanya.

Sulaiman berkata, JPAM ketika ini telah diiktiraf sebagai salah satu daripada lima agensi perkhidmatan kecemasan 999 negara bagi menangani kes kecemasan harian.

 "JPAM terus mendapat kepercayaan kerajaan untuk memberi perkhidmatan bantuan bagi bencana-bencana besar negara, malah telah diiktiraf sebagai salah sebuah agensi penyelamat utama yang beroperasi dalam zon merah," ujarnya.

Sementara itu Timbalan Pengarah JPAM Terengganu, Mohd Zubir Mohd Juzad menyeru para pegawai dan anggota menganalisis pencapaian mereka agar kualiti perkhidmatan jabatan itu dapat dipertingkatkan ke aras yang lebih tinggi

 "Bagaimanapun, kita percaya bahawa dengan berkurangnya aduan yang diterima daripada pelanggan membuktikan bahawa anggota kita komited dengan tugas mereka," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment