Pada ketika Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan mahu bertanding di Parlimen Pekan, cabar-mencabar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berterusan.
Semalam,Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pula mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar bertanding di kerusi Parlimen Kemaman.
Ahmad Said yang juga Pengerusi Umno Terengganu berkata, Ahli Parlimen Marang itu sepatutnya bertanding di Kemaman terlebih dahulu sebelum berhasrat bersaing di Pekan, yang disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kesediaan Abdul Hadi itu (untuk) bertanding di Pekan hanya gimik politik sahaja, bohong belaka. Apa tujuan dia? Nak dapat publisiti? Nak gali kubur sendiri?
“Kalau berani, marilah bertanding di Kemaman. Buat apa pergi bertanding di Pahang.
Tunjukkan kehebatan di Terengganu dahulu," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai Peringkat Dun Kijal 2012 di Padang Kubu, dekat Kemaman semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media yang menyatakan Abdul Hadi akur dengan kemahuan parti jika diarahkan bertanding di Parlimen Pekan pada PRU13.
Pemuda Pas Pusat semalam menyifatkan kesediaan Presiden Pa itu untuk bertanding di Pekan, Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), menonjolkan sikap sebenar pemimpin gerakan Islam.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, keputusan tersebut menyerlahkan sikap keterbukaan pemimpin tertinggi Pas yang sanggup bertanding di mana atau sesiapa sahaja, termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, Pas tidak mepunyai sebarang kepentingan peribadi terhadap sesiapa sahaja walaupun Presiden sendiri.
Ahmad Said berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Abdul Hadi untuk bertanding di kerusi Parlimen Kemaman bagi menguji kehebatan parti itu dalam mendapatkan sokongan rakyat.
Tegas beliau, kenyataan Abdul Hadi itu juga adalah gimik kononnya pemimpin itu akur arahan parti sekali gus untuk menghangatkan suasana sebelum PRU13.
Sumber - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment