Tuesday, November 6, 2012

Banjir - ATM Sedia Mobilisasi Anggota Jika Perlu


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga memobilisasi anggota pasukan keselamatan itu dari segi tenaga, aset dan kemudahan ke mana-mana kawasan banjir jika diperlukan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita akan libatkan anggota dan pegawai mengikut jumlah batalion di tempat dilanda banjir. Bagaimanapun, kerajaan Johor belum lagi meminta kita untuk memobilisasi anggota.

"Tapi briged dan batalion di Johor sentiasa bersedia untuk bergerak menggunakan aset yang ada, khususnya tentera darat," katanya pada sidang akhbar di Parlimen semalam.

Ahmad Zahid mengulas situasi banjir di Johor yang mana menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), seramai 1,284 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir Batu Pahat dan Kluang sehingga 3 petang semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan fenomena hujan tidak menentu akan berlaku sepanjang November di seluruh negara disebabkan arah tiupan angin sentiasa berubah. Ahmad Zahid berkata ATM mempunyai aset khas iaitu lori tujuh tan yang diharap mampu mengharung banjir bagi kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa.

Selain itu, ATM memiliki dapur bergerak untuk digunakan mangsa banjir di pusat pemindahan. Beliau berkata apa yang paling penting ketika ini ialah koordinasi antara pihak terlibat dan pengurangan risiko bencana alam yang sedang dilaksanakan MKN.

Katanya koordinasi ATM yang ada ketika ini adalah antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bomba , Jabatan Pertahanan Awam, pejabat daerah dan yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment