Thursday, November 29, 2012

Doktor Swasta Warga India Ditahan, Tidak Berdaftar Dengan MMC

Jabatan Kesihatan Negeri Johor semalam menahan seorang doktor rakyat India yang berkhidmat di sebuah hospital swasta di bandar raya ini kerana tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sebagai pengamal perubatan, di negara ini.

Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohd Khairi Yakub berkata, doktor wanita berusia 38 tahun itu ditahan dalam serbuan yang diketuai Ketua Penolong Pengarah Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta Dr Haslina Zamani dengan kerjasama Jabatan Imigresen Johor, pada 11 pagi semalam.

"Serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan siasatan awal mendapati wanita terbabit telah bekerja di hospital berkenaan sejak dua bulan lepas," katanya dalam satu kenyataan, di Johor Bharu.

Mohd Khairi berkata, wanita berkenaan kini ditahan Jabatan Imigresen Johor dan dia boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959 kerana menyalahgunakan pas masuk.

Beliau berkata, pemilik hospital swasta itu turut disoal siasat dan boleh didakwa mengikut akta sama kerana melindungi individu yang menyalahgunakan pas masuk tersebut.

"Tindakan lanjut akan dikenakan terhadap pemilik hospital itu mengikut Seksyen 31(1)(c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 kerana mengambil bekerja orang yang tidak berdaftar," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Khairi turut memberi amaran kepada pemilik kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta supaya tidak mengambil individu yang tidak berdaftar dengan MMC kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan pesakit.

No comments:

Post a Comment