Thursday, November 1, 2012

FAM Serius Isu 'Belakang Tabir' Buru Pemain Untuk Liga Super 2013


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius isu ‘belakang tabir’ membabitkan beberapa pasukan yang dikatakan sedang rancak memburu pemain kegemaran masing-masing.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menganggap perbuatan itu sebagai sesuatu tidak beretika, apatah lagi ia membabitkan pemain yang masih mempunyai kontrak dengan majikan lama.

Azzuddin memberitahu, segala urusan untuk mendapatkan mana-mana pemain harus dijalankan dengan cara yang betul dan profesional.
“Sebenarnya, kepada mana-mana pasukan yang berhasrat untuk mendapatkan pemain, mereka boleh menggunakan saluran yang betul.

“Seperti yang termaktub dalam undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pasukan boleh mendapatkan pemain yang dikehendaki, dengan syarat mereka membayar pampasan jika pemain terbabit masih mempunyai kontrak dengan majikan lama.

“Kepada persatuan atau kelab yang masih keliru, mereka boleh merujuk kepada pihak FAM bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung isu kontrak pemain,” jelas Azzuddin kepada Kosmo! semalam.

 Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan bahawa adalah tidak profesional sesebuah pasukan mengikat kontrak dengan pemain baharu, sedangkan pemain terbabit masih menerima gaji daripada pasukan lamanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa pasukan yang ‘merampas’ pemain tanpa pengetahuan majikan lama.

Mohamad Hasan menegaskan, FAM perlu meneliti sewajarnya perbuatan tidak beretika tersebut agar semua pihak terbabit menghormati nilai ‘kuasa’ yang ada dalam kontrak seseorang pemain itu.

Mengambil contoh, pemain import, Jean Emmanuel Effa Owona yang masih mempunyai kontrak dengan PBNS. Namun penyerang kelahiran Cameroon itu dilaporkan sudah menandatangani perjanjian dengan Terengganu bagi saingan musim depan.

“Kami menerima pandangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai perkara itu.

 “Perkara tersebut telah diserahkan kepada sebuah jawatankuasa untuk menjalankan siasatan lanjut. “Buat masa ini, tiada sebarang tindakan diambil lagi,” kata Azzuddin lagi.

No comments:

Post a Comment