Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Terengganu akan mengenal pasti tanah kosong di kawasan rancangan Felda di negeri itu untuk dibangunkan dengan projek perumahan generasi baru Felda.
Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu Helmi Fakhzan Abdul Wahab berkata buat permulaan kawasan Felda Tenang, di Besut dikenal pasti sebagai lokasi bagi membangunkan projek perumahan generasi baru berkenaan.
"Kita belum pasti berapa jumlah rumah yang akan didirikan untuk program perumahan generasi kedua Felda di situ, tetapi ia tidak kurang daripada 300 unit untuk permulaan.
"Kita akan bina rumah-rumah berkenaan di tanah rancangan Felda selagi terdapat tanah kosong. Walaupun kawasannya agak kecil, kita boleh bina 20 unit atau sebagainya mengikut kesesuaian," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek durian runtuh fasa ketiga bagi zon Kerteh yang melibatkan Kerteh satu, dua, tiga dan empat yang disempurnakan Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan, kelmarin.
Helmi Fakhzan berkata, selain pembinaan rumah, program di Felda Tenang itu akan turut dilengkapi dengan kemudahan projek pertanian cara moden untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak peneroka.
Jelas beliau kerajaan merancang untuk melaksanakan program pembinaan rumah generasi kedua Felda di seluruh negara dalam tempoh lima tahun, melibatkan pembinaan 20,000 unit rumah.
Sementara itu, wang agihan durian runtuh berkenaan melibatkan seramai 1,399 anak peneroka dengan jumlah RM7 juta.
Ia merupakan program pertama generasi kedua felda daripada 20 tanah rancangan Felda yang terdapat di Terengganu.
No comments:
Post a Comment