Monday, November 19, 2012

Liga Super - T-Team Ikat Kontrak Tiga Tonggak Import


Kerajaan negeri Terengganu hari ini mengikat perjanjian tiga tonggak import dalam usaha memperkuatkan skuad bola sepak T-Team bagi menghadapi Liga Super tahun depan.

Ikatan perjanjian itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dengan tiga tonggak berkenaan pada satu majlis di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.

Tiga tonggak berkenaan ialah James Butler yang dilantik sebagai jurulatih dan pengurus manakala dua lagi ialah George Boateng (pemain) dan Sebeastian Knapis jurulatih kecergasan.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Mazlan berkata kerajaan negeri mengikat mereka selama setahun dan akan menyambung lagi pada masa depan jika perlu.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang mengintai dua lagi pemain import bagi mencukupkan tiga pemain import seperti yang dibenarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tahun depan.

"Insya Allah dua lagi pemain import yang kita perlukan itu akan diperoleh sebelum tarikh pendaftaran akhir pemain pada 6 Disember nanti,” katanya.

Jelas beliau, ini merupakan kali pertama T-Team melantik jurulatih kecergasan import bagi menggambarkan bahawa keseriusan pasukan kelab itu dalam mencari kejayaan dalam liga tahun depan.

Menurut Mazlan, petang ini Butler akan meneliti pemain import tempatan yang dipanggil khas untuk saringan dan pemilihan bagi membarisi skuad T-Team tahun depan.

Katanya, bagi menghadapi Liga Super tahun depan T-Team bersetuju menggunakan tema “T-Team Titans” yang menggambarkan pasukan itu gagah dan hebat.

Beliau berharap dengan logo baru yang akan digunakan oleh T-Team di samping barisan pemain import ternama akan dapat menarik minat penyokong berbanding sebelum ini.

No comments:

Post a Comment