Saturday, November 3, 2012

GP Perak Uji Kewibawaan Pelumba Tempatan, TSG

Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan Sirkit Perak (GP Perak) yang bermula di Kompleks Memanah Pangkalan TLDM Lumut semalam menandakan bermulanya era baharu dalam perlumbaan sehari (one-day-race) apabila kategori lepas beramai-ramai elit lelaki diadakan sejauh 202.5 kilometer (km), sekali gus bakal mencabar kewibawaan semua pelumba di negara ini.

Ketua Jurulatih PLBT, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, Terengganu mempertaruhkan tiga pelumba pelapis itu ialah Abd Aziz Zahid, Iskandar Fitri Ahmad Sabti dan Ahmad Najib Ismail.

Ketiga-tiga pelumba yang menjadi sandaran PLBT itu merupakan pelumba yang mempunyai kedudukan dan kutipan mata terbaik setakat ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab  menjelaskan semalam, keputusan tersebut sejajar dengan arahan Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) yang mahu semua perlumbaan sehari diadakan lebih daripada 200km sesuai dengan jarak perlumbaan pada Sukan Olimpik dan Kejohanan Lebuh Raya Dunia.

"Keputusan tersebut diputuskan pada Kongres ACC di Baskinta, Lebanon bulan lalu. PKBM akur dan akan patuh kepada arahan tersebut. "Jadi, kita akan mulakan di GP Perak pada minggu ini. Saya percaya keputusan ini amat mempengaruhi keputusan dan prestasi hampir semua pelumba negara.

"Ini kerana selama ini kita adakan perlumbaan sehari dalam jarak yang pendek iaitu sekitar 150km, 160km atau 170km. "Perlumbaan jarak lebih 200km pun baru beberapa kali kita adakan pada Le Tour de Langkawi dan Jelajah Malaysia. Saya rasa perlumbaan esok (hari ini) bakal mencetuskan satu senario baharu kepada kita," katanya.

Abu Samah yang juga Naib Presiden ACC bagaimanapun percaya pelumba negara boleh segera menyesuaikan diri dengan jarak perlumbaan yang panjang sekalipun ia memerlukan satu revolusi baharu dari segi percaturan taktikal dan ketahanan stamina.

"Secara tidak langsung ia turut mempengaruhi corak latihan semua pelumba di negara ini. Mahu tak mahu semua jurulatih di negara ini harus tukar corak atau program latihan semasa untuk sesuaikan dengan jarak perlumbaan sehari pada Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Kejohanan Lumba Basikal Asia," katanya.

Ketua jurulatih lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman turut mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Teknikal PKBM yang mengadakan perlumbaan sehari dengan jarak lebih 200km pada sirkit keempat GP Kebangsaan di Lumut.

Secara tidak langsung, beliau percaya GP Perak boleh memberi gambaran sebenar tentang keupayaan dan ketahanan semua pelumba di Lumut nanti menjelang dua perlumbaan besar tahun depan iaitu Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 yang bakal diadakan di New Delhi, India.

"Saya dapat tahu perlumbaan lepas beramai-ramai elit lelaki pada ACC 2013 nanti akan meliputi jarak 250 kilometer. Ini adalah satu jarak yang sangat jauh. "Bagaimanapun, kita tak boleh menyerah kalah dengan begitu mudah. Kita kena terima cabaran tersebut.

Mahu tak mahu kita kena buktikan jarak perlumbaan yang jauh bukan satu halangan untuk mencapai kejayaan," katanya.

Aminuddin menjelaskan, beliau akan memberi perhatian serius terhadap prestasi pelumba kebangsaan di GP Perak khususnya Suhardi Hassan, Muhammad Nur Rauf Misbah, Mohd. Nur Rizuan Zainal dan Muhammad Fauzan Ahmad Lufti, selain turut memantau persembahan tonggak Terengganu Cycling Team (TSG).

 "Seperti yang kita maklum, LTdL 2013 dan ACC 2013 tinggal cuma beberapa bulan sahaja. Sepatutnya mulai sekarang, saya sudah memiliki barisan mantap."

No comments:

Post a Comment