Wajah pengurusan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBDSKT) yang mana pasukan Liga Super, T-Team bernaung, mungkin bertukar.
Jawatan presiden disandang Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusof, yang sebelum ini dimenangi tanpa bertanding selama lebih 10 tahun, akan dicabar wakil Persatuan Bola Sepak Darul Iman, Abdul Rasid Jusoh, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PBDSKT, hari ini.
Abdul Rasid, yang menerima surat pelantikan sebagai ketua pegawai eksekutif T-Team, berkuat kuasa Ahad ini (esok) menyatakan hasrat mencabar Shaikh Ahmad sebagai presiden PBSDKT.
“Sebagai pegawai diberi tanggungjawab menerajui T-Team dalam menghadapi saingan Liga Super musim depan, saya merasakan ada baiknya jika saya juga menjadi orang yang bertanggungjawab ke atas persatuan.
“Keputusan terakhir bagaimanapun terletak di tangan wakil 30 kelab yang bergabung di bawah PBSDKT.
“Sekiranya mereka memilih melakukan perubahan kepada pucuk pimpinan persatuan, saya dengan senang hati bersedia menggalas tugas itu,” kata Rasid yang juga pernah menjadi pengurus T-Team selama empat tahun bermula 2007.
Perebutan jawatan kali ini bukan saja tertumpu kepada presiden kerana timbalan presiden PBSDKT, Zakaria Abdullah, juga akan dicabar oleh ahli jawatankuasa persatuan, Mohamad Sekanther Abdul Hamid.
No comments:
Post a Comment