Khatijah dan suaminya, Alias gembira menerima wang elaun sara hidup nelayan sebanyak RM200 yang digunakan untuk menampung perbelanjaan dapur mereka sekeluarga. |
Pengorbanan itu dilakukan demi anak yang semakin membesar, seterusnya membantu meringankan beban suami, Alias Ali, 56, yang mencari nafkah sendirian di lautan.
Ternyata, pengorbanan itu berbaloi bagi Khatijah Wahab, 55, kerana sejak mengikut suaminya turun ke laut menangkap ikan di laut dalam, pendapatan yang diperoleh semakin bertambah dan mampu memperoleh sehingga RM1,000 sehari.
Menurut ibu sembilan anak ini, sepanjang bergelar nelayan, pelbagai pengalaman diharungi bersama suami dan dia sudah lali dengan kejadian bot dipukul gelombang di tengah lautan.
“Kerja yang saya lakukan tidaklah terlalu berat kerana bot kelas A yang kami miliki mempunyai mesin tarik tali untuk mengangkat bubu yang dimasukkan ke dalam laut.
"Kami gunakan bubu untuk menangkap ikan kerana cara ini lebih senang berbanding menggunakan pukat,” katanya. Khatijah berkata, bagi memudahkan kerja, sebanyak 30 bubu diturunkan ke dalam laut pada satu-satu masa.
“Sambil menunggu untuk menarik bubu yang dilepaskan ke dalam laut, saya dan suami menyiapkan bubu baru,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan secara tunai di Kuala Kemaman.
Khatijah yang mengakui biasa tidur di lautan berkata, dia turut memasak di atas bot sebagai alas perut mereka.
“Bubu yang digunakan boleh tahan sehingga enam bulan sahaja jadi kami memang sentiasa memerlukan bubu baru untuk terus mencari rezeki.
“Jika ada masa terluang kami gunakan untuk membuat bubu dan kos menyiapkan setiap satu bubu adalah RM100,” katanya.
Menurutnya, hasil laut yang banyak ditangkap adalah kerisi, ketam dan sotong serta ikan kerapu yang turut dieksport ke Singapura.
Katanya, dia dan suaminya yang menjadi nelayan sejak 50 tahun lalu akan turun ke laut setiap hari sekitar jam 3 pagi. Mereka akan bermula dari jeti nelayan Kampung Tengah Chukai dan pulang ke darat kira-kira jam 4 petang walaupun pada musim tengkujuh.
"Anak perempuan, Nor Aisyah, 30, juga turun ke laut mencari rezeki. “Saya akan terus menjadi nelayan selagi ada kudrat kerana kerja ini sudah jadi darah daging saya,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment