Tuesday, November 13, 2012

Isteri Tertuduh Menangis, Sumai Dihukum Penjara 4 Tahun, 3 Sebatan

Mohd Nazri dipenjara empat tahun dan tiga sebatan mengaku salah merompak rantai emas milik warga emas di Mahkamah Sesyen semalam.

Suasana hiba di kamar mahkamah apabila ibu serta isteri kepada tertuduh, Mohd Nazri Othman, 35, gagal mengawal perasaan dan menangis teresak-esak selepas hukuman empat tahun penjara dan tiga sebatan diputuskan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris di Mahkamah Sesyen, di Kuala Terengganu semalam.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Mohd Nazri mengaku salah merompak dua utas rantai emas milik seorang warga emas di sebuah kediaman di Jalan Pasir Panjang, di sini, 19 Oktober lalu kira-kira jam 2.20 pagi.
 
 Laporan Sinar Harian keluaran 3 November lalu.

Bapa kepada tujuh anak itu mengaku merompak rantai emas milik mangsa, Mariam @ Kuntum Awang, 63, jirannya yang juga ibu saudaranya.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi manakala Mohd Nazri tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu Mohd Nazri dalam rayuannya merayu mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana mendakwa terpaksa menyara tujuh anak masih kecil, pada masa sama mendakwa sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa sedang tidur di rumahnya sebelum terdengar bunyi terjatuh di dapur.

Mangsa bergegas bangun untuk membuat pemeriksaan sebelum tiba-tiba datang seorang lelaki bertopeng menggunakan baju T dipakainya, meragut dua utas rantai emas dileher mangsa, menyebabkan mangsa cedera sebelum bertindak melarikan diri.

Tertuduh menyerahkan hasil rompakan itu kepada isterinya yang kemudian menjual barang kemas itu di sebuah kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang.

Sebelum ini, pada 1 November lalu, isterinya, Sakinah Salleh, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dakwaan menjual dan melupuskan barangan hasil rompakan berkenaan.

Bagaimanapun, Sakinah mengaku tidak bersalah atas tudu-han di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim sebelum dibenarkan diikat jamin RM2,800 dan kes akan disebut semula pada 6 Disember depan.

Dalam rayuannya, Sakinah berkata, dia dan suaminya terpaksa melakukan perbuatan itu kerana desakan hidup menyara keluarga dan hanya bergantung hidup menjual kuih, sementara Mohd Nazri tidak bekerja.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment