Baginda bertitah, ia selaras peruntukan 102 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu pindaan 2012, dan larangan ini harus dihormati dan dipatuhi semua pihak bagi menjamin kesucian Agama Islam, agar mampu mengawal kestabilan negara daripada elemen tidak sihat dan kecelaruan fakta di kalangan rakyat, terutama umat Islam.
“Beta juga berhasrat melihat program keagamaan dan aktiviti pengajaran agama Islam di negeri ini dapat disemarakkan dan dipergiatkan terutama di masjid dan surau dalam usaha membendung gejala buruk dan kemerosotan akhlak masyarakat pada masa kini.
“Oleh itu, beta menyeru seluruh rakyat supaya bersatu padu, berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan negara terus maju, aman dan harmoni,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Yang Dipertua Dun, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Saleh.
Sambutan Maal Hijrah yang bertemakan ‘Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu telah menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah kepada bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Ismail Ali dan Tokoh Keluarga Mithali pula, Mohamad Ismail, 74, bersama pasangannya Teh @ Mariam Abdullah, 70, dari Kampung Pak Madah, Marang.
Manakala Tokoh Saudara Kita dianugerahkan kepada Mohd Ridzuan Ang Abdullah, anugerah Masjid Mukim terbaik (Masjid Kampung Bukit Chempaka) dan Masjid Kerajaan Terbaik dimenangi Masjid Bukit Payong.
Titah baginda, sesungguhnya Malaysia adalah bumi bertuah dan dilimpahi nikmat keamanan dan kemakmuran walaupun dunia kini dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.
“Justeru, tema sambutan Maal Hijrah pada kali ini, ‘Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ sangat sesuai dan perlu dihayati bersama.
Beta percaya ia dapat menyumbang ke arah penyelesaian sesuatu pertikaian dan membawa kepada keamanan manusia seluruhnya,” titah baginda.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment