Saturday, November 17, 2012

Jangan Jadikan Masjid 'Simbol Perbuatan Negatif' - Sultan Mizan


 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin tidak mahu masjid-masjid di negeri ini berubah menjadi simbol perbualan negatif sehingga memberi imej buruk kepada agama dan umat Islam.

Baginda bertitah, perbualan berunsur negatif itu berkisar tentang suasana persekitaran yang kotor serta keadaan masjid yang tidak terurus dan sempurna.

Sultan Mizan juga tidak mahu masalah seumpama itu dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaiannya kerana tiada tindakan wajar diambil.

"Beta tidak mahu masjid-masjid yang berada dalam negeri ini bertukar menjadi simbol perbualan negatif seperti persekitaran yang kotor serta keadaan masjid tidak terurus, tiada pengunjung dan tiada pengajaran agama kepada anak mukim.

Titah baginda, masjid merupakan lambang syiar yang menjadi kebanggaan setiap umat Islam dengan peranannya sebagai pusat kegiatan ummah.

Masjid menjadi tempat menjalankan segala urusan masyarakat termasuklah aspek pendidikan dan keilmuan, titahnya.


"Beta tidak mahu masjid-masjid yang ada di negeri ini bertukar menjadi tempat perbualan negatif dengan persekitarannya kotor, tidak terurus, tiada pengunjung dan tidak dijadikan tempat untuk memberi pengajaran agama kepada anak mukim.

"Beta berharap penduduk kariah dapat menjaga masjid dengan sempurna dan mengimarahkannya sebaik mungkin serta menjadikannya tempat mewujudkan perpaduan umat Islam," titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian semasa merasmikan Masjid Khalifah, Taman Jaya di Jalan Pusara di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Saleh.

Titah baginda, bersempena sambutan Maal Hijrah dan perasmian masjid itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk memelihara imej masjid.

"Peranan dan imej masjid hendaklah dipulihkan kembali sebagai institusi yang bukan sahaja sebagai penggerak utama dalam proses perubahan sikap ummah, tetapi juga untuk mendidik masyarakat yang wasatiyyah," titah baginda.

Masjid Khalifah yang terletak dalam mukim Ladang siap dibina dan mula digunakan pada Julai tahun lepas dengan peruntukan kos RM4 juta. Masjid itu yang mampu menampung 1,000 jemaah merupakan antara 131 buah masjid yang dibina dalam daerah Kuala Terengganu.

Utusan Malaysia, Sinar Harian & Tegankita

No comments:

Post a Comment