Wednesday, November 7, 2012
Kenyataan Nurul Izzah - Hadi Anggap Ia Bukan Sesuatu Yang Penting
Pas tidak bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersabit isu kononnya beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan rakyat tidak harus disekat daripada mengamalkan ajaran tertentu termasuk orang Melayu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya wakil media sama ada parti itu akan bertemu dengan Nurul Izzah bagi membincangkan hal itu berkata, "kita banyak lagi hal lain nak selesai untuk hadapi pilihan raya."
Bagaimanapun ujar Abdul Hadi, setakat ini Pas belum mendapat gambaran sebenar mengenai isu itu.
"Kita tak dapat bergantung kepada laporan media," katanya pada sidang media selepas mesyuarat di ibu pejabat parti itu di di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Abdul Hadi lagi, "kita kena periksa dahulu... dalam Islam kalau kita tidak jelas wakalu satu peratus, kita tidak boleh hukum."
Nurul Izzah semalam memutuskan beliau akan mengambil tindakan ke atas media yang salah lapor berhubung kenyataannya dalam sebuah forum Sabtu lalu.
Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama untuk bekerjsama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jika dipanggil untuk berbuat demikian.
Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, tindakan itu hanya boleh diambil sekiranya pihaknya menerima maklumat berhubung perkara tersebut.
Dalam kenyataan media berasingan Nurul Izzah berkata, beliau sudah mengarahkan dua peguamnya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah agar mengambil tindakan undang-undang ke atas dua akhbar dan beberapa blog berkaitan laporan isu kebebasan beragama, yang didakwa berbaur fitnah.
"Saya telah mengarahkan peguam-peguam saya - Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah - untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian, serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog, berkaitan laporan berunsur fitnah akidah yang telah memutar belitkan sebahagian dari kenyataan penuh saya tempoh hari," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau tidak sanggup melihat "fitnah akidah" diteruskan. "Saya tidak merelakan fitnah aqidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan," kata wakil rakyat penggal pertama ini.
No comments:
Post a Comment