Wednesday, November 7, 2012

Ladang Gaharu Kedua MUla Dibuka Di Mercang

Kerajaan negeri mewujudkan ladang gaharu kedua seluas 50 hektar di kawasan Hutan Simpan Mercang, Marang yang boleh memuatkan 40,000 anak pokok gaharu (karas).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan kemajuan projek pertama yang ditaman sejak enam tahun lalu.

``Projek perintis itu (2005) melibatkan kawasan seluas 47 hektar dengan kira-kira 30,500 pokok berjaya ditanam dan hidup subur,’’ katanya.


Beliau berkata, projek perintis yang dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan negeri itu mampu berdaya maju serta berdaya saing kerana permintaan tinggi terhadap pokok ini.

Sehubungan itu pada projek kedua, benih pokok dari spesis `aqilaria malaccensis’ telah ditanam pada awal bulan lalu dan kini kira-kira 20,000 anak pokok selesai ditanam dan bakinya dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Katanya, tanaman ini mampu memberikan pulangan lumayan, walaupun terpaksa menunggu antara enam atau tujuh tahun baharu boleh mendapatkan hasil.

“Penjagaannya juga tidak rumit malah boleh ditanam dalam skala kecil dan bila mencapai usia lima tahun akan disuntik dengan sejenis cecair atau dipanggil proses `inokulasi’ untuk memberikan kesakitan dan mengeluarkan resin (dammar).

Namun begitu, Jabatan Perhutanan negeri terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mendapatkan cecair bagi kegunaan pokok gaharu,” katanya yang telah mengadakan lawatan ke Vietnam baru-baru ini bagi meninjau penggunaan bahan tersebut di negara berkenaan.

Menurutnya, petani di Vietnam menggunakan cecair untuk kegunaan pokok gaharu dengan harga yang murah dan kini sedang diuji kepada pokok gaharu yang ditanam di negeri ini untuk memastikan tahap kualitinya.

``Jika hasilnya sama, kemungkinan kerajaan negeri akan mengimport cecair tersebut dari Vientam kerana harga yang agak rendah berbanding yang dibeli di negara ini,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment