Wednesday, November 21, 2012

Kerajaan Pusat Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Isu Bayaran Hasil Petroleum


 "Kerajaan Persekutuan telah menerima calon-calon dari negeri Kelantan dan Pahang yang akan mengkaji secara telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia...Bagaimana pun, calon-calon dari negeri Terengganu masih dalam pertimbangan kerajaan negeri."
 - Pejabat Perdana Menteri

Kerajaan persekutuan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Ia akan dianggotai pakar undang-undang antarabangsa dan tempatan selain wakil kerajaan negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Penubuhan jawatankuasa khas itu bertujuan mengkaji secara menyeluruh isu bayaran tunai dengan mengambil kira semua aspek yang dibangkitkan oleh negeri di pantai timur tersebut.

"Jawatankuasa itu dijangka akan menamatkan tugasnya dalam tempoh enam bulan bermula dari tarikh penubuhannya," jelas kenyataan itu lagi.


Kerajaan Persekutuan telah menerima calon-calon dari negeri Kelantan dan Pahang untuk menganggotai Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu.

Bagaimana pun, calon-calon dari negeri Terengganu masih dalam pertimbangan kerajaan negeri.

"Mengikut laporan media, kerajaan negeri Kelantan telah membuat tuntutan sebanyak RM10.4 bilion daripada hasil petroleum dan gas yang dikeluarkan."

"Sehubungan ini, memandangkan Kelantan telah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas ini dan telah pun menamakan calon untuk mewakilinya, maka adalah wajar segala isu dan tuntutan dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas tersebut," kata kenyataan itu lagi.

Sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Ogos lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

No comments:

Post a Comment