Wednesday, November 14, 2012

Lepas Pantang, Kembali Aktif Mencuri

Norazlina mengaku bersalah melakukan pencerobohan kedai runcit dan mencuri pelbagai barangan kosmetik di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Walaupun baru sahaja lepas berpantang melahirkan anak keempat, seorang pembantu kedai makan terus aktif menjalankan jenayah mencuri.

Dia yang memiliki rekod jenayah lampau dilihat seolah-olah tidak pernah serik apabila sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas dua pertuduhan iaitu melakukan pencerobohan ke atas sebuah kedai runcit di Jalan Sultan Sulaiman, dan mencuri barangan kosmetik di sebuah kios kecantikan di Pasar raya Mydin Mall.

Tertuduh, Norazlina Mamat, 35, dari Jalan Banggol Kampung Paya Keladi, dengan selamba mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noradila Ab Latiff.

Bagi pertuduhan pertama, Norazlina mengaku melakukan pencerobohan ke atas kedai Nine Enterprise di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, milik Dzulkarnaim Othman, 29, pada jam 4 hingga 5 pagi, 9 November lalu.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Norazlina turut mengaku bagi pertuduhan kedua mencuri pelbagai barangan kosmetik bernilai RM400 di kios Butik EllyNoor di Pasar raya Mydin Mall, Jalan Sultan Mohamad, milik Norrizam Muda, 44, pada 14 Ogos lalu, kira-kira jam 11.40 malam.

Norazlina mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Norazlina tidak diwakili peguam. Sejurus pengakuan bersalah bagi kedua-dua pertuduhan direkodkan, Noradila menetapkan 20 November depan sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan dia diikat jamin RM6,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment