Monday, November 19, 2012

Memburukkan Sesama Islam Bertentangan Dengan Ajaran Allah

 

“Seorang Imam bernama Ahmad bin Hanbal telah ditangkap dan didera kerana enggan menukar pendiriannya, lalu ditanya apakah doanya terhadap orang menzalimi diri beliau dan dia menjawab, ‘jika ada doa paling mustajab, aku doakan kebaikan terhadap diri mereka."  
- Fathul Bari Mat Jahaya


Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin kesal tindakan penyokong Pas mendoakan keburukan kepada sesama umat Islam yang dianggap musuh kepada parti itu.

Katanya, perbuatan itu tidak wajar dilakukan apa lagi oleh mereka yang mendakwa memperjuangan Islam dan bertindak atas perjuangan agama Menurutnya, apa yang dilakukan oleh penyokong yang mendoakan keburukan kepada Islam adalah bertentangan dengan ajaran Islam malah ia tidak diajar oleh agama Islam.

“Malah Allah tidak menyuruh sesiapa sahaja mendoakan sesuatu keburukan dan meminta ditimpa bala kepada sesama Umat Islam”,katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan nelayan di Sekolah Nurzahirah Besut, semalam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan mendoakan kehancuran Umno dan Barisan Nasional (BN) itu adalah sebagai sesuatu yang wajar dan bukannya kesalahan.

Tindakan mendoakan parti itu hancur adalah kerana BN didakwa menolak Islam. Dakwanya, tindakan BN menolak Islam secara jelas menunjukkan parti itu memperlekehkan agama tersebut kerana ia berkait soal akidah.

Beliau turut memberikan contoh kisah Nabi Nuh AS yang memohon kepada ALLAH SWT untuk menghancurkan kaumnya ketika itu yang tidak mematuhinya.

“Bila Umno tolak Islam apa taraf Islam? Takkan nak biar? Tak salah doa macam itu kerana dalam al-Quran sendiri menyebut mengenai kisah di zaman Nabi Nuh AS yang berdakwah tetapi ditolak kaumnya yang mempunyai pengikut dan harta banyak.

“Akhirnya Nabi berdoa supaya Tuhan musnahkan orang itu kerana sekiranya tak dimusnahkan nanti bila orang itu beranak maka anaknya pula melawannya jadi jangan tinggalkan seorang pun,” katanya pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya sebaliknya berkata doa seumpama itu sudah menyisihkan pandangan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

“Seorang Imam bernama Ahmad bin Hanbal telah ditangkap dan didera kerana enggan menukar pendiriannya, lalu ditanya apakah doanya terhadap orang menzalimi diri beliau dan dia menjawab, ‘jika ada doa paling mustajab, aku doakan kebaikan terhadap diri mereka.

“Perkara itu menjadi pegangan ulama sehingga ke hari ini. Mendoakan kebaikan kepada pemimpin memberi kebaikan kepada rakyat, mendoakan keburukan kepada pemimpin memberi keburukan dan kesan negatif terhadap rakyat,” katanya.

Katanya, sewajarnya parti politik seperti Pas menuntut perkara kebaikan dan bukannya yang boleh memberi pelbagai implikasi.

“Bukan tidak boleh berdoa. Doa boleh dibaca seperti ‘Ya ALLAH, jauhkan kami daripada korupsi, kezaliman, liberalisme, rasuah dan semua perkara tidak baik.’

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali melahirkan rasa kecewa apabila mendapati doa disampaikan boleh menimbulkan huru-hara di kalangan masyarakat Islam.

Menurutnya, bacaan doa perlulah dengan bahasa syahdu, tidak terjerit-jerit dan meminta perkara baik-baik sahaja.

Bagi Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut, umat Islam sepatutnya mendoakan perkara yang baik-baik kepada sesama Islam dan bukanya melakukan doa yang bertentangan seperti apa yang dilakukan oleh Pas terhadap UMNO.

Abdullah berkata, tahap berpolitik ahli Pas ternyata rendah dan tidak bertamadun kerana mereka sanggup melakukan apasa sahaja walupun kadang kala perbuatan mereka bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berharap pemimpin Pas sedar dengan apa yang dilakukan mereka dan jangan sekali-kali mengadaikan Islam untuk kepentingan politik parti.

Sumber - Teganukita & Sinar Harian

No comments:

Post a Comment