Thursday, November 22, 2012

Merompak - Mahkamah Kekal Hukuman 8 Tahun Penjara


Perbuatan seorang lelaki yang bukan hanya melakukan rompakan bersenjata, malah turut mencederakan dua beranak dalam kejadian rompakan di sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Bekah, di Kuala Terengganu, tahun lalu, amat dipandang serius Mahkamah Tinggi, di Kuala Terengganu.

Berikutan itu, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak rayuan hukuman Rozian Rozali, 33, semalam, dengan mengekalkan hukuman diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, di Kuala Terengganu, tahun lalu iaitu lapan tahun penjara dan enam sebatan selepas dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan itu.

Mohd Yazid membuat keputusan itu selepas mendapati keputusan Mahkamah Sesyen pada 28 September tahun lalu adalah tepat dan wajar.

Selain itu katanya, keputusan yang dibuat turut mengambil kira faktor keadaan tertuduh yang juga penagih dadah ketika kejadian.

Rozian mengaku bersalah merompak dengan bersenjatakan sebilah pisau lipat dan mengaku sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Rohani Sulong, 49, serta Nor Fatihah Mohd Bidin, 23, di sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Bekah.

Dia mengaku melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas pada 15 September 2011, kira-kira jam 3 petang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment