Wednesday, November 21, 2012

MSN, IPTS Tawar Biasiswa RM4 Juta Kepada Atlet Kebangsaan

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong (kiri) bertukar dokumen dengan Naib Canselor Allianze University College of Medical Sciences, Prof. Datuk Dr. Muhamad Abdul Razak sambil diperhatikan oleh Ahmad Shabery (dua dari kiri) di Kuala Lumpur semalam.
Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama 10 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) akan menawarkan biasiswa berjumlah lebih RM6.4 juta kepada atlet kebangsaan bagi menyuntik semangat serta memberi galakan kepada mereka untuk cemerlang dalam bidang akademik.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini, tawaran tersebut diberi kepada 160 atlet kebangsaan yang bebas memilih jurusan pengajian yang mereka kehendaki di mana-mana 10 IPTS berkenaan.

"Selalunya IPTS dianggap universiti yang memerlukan perbelanjaan besar untuk menyambung pengajian. Kerjasama MSN dan IPTS ini membuka peluang yang luas kepada atlet kebangsaan untuk cemerlang bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi merangkumi akademik.

"Ini merupakan satu era baharu dalam kecemerlangan untuk atlet kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MSN dan 10 IPTS di ibu negara semalam.

Ahmad Shabery berkata, atlet yang cemerlang bukan sahaja perlu mempertingkatkan kredibiliti daripada aspek fizikal tetapi mempunyai kemampuan berbeza dalam bidang lain termasuk akademik.

"Menjadi ahli sukan, mereka perlu ada kemahiran dalam pelbagai bidang. Ini baru permulaan, selepas ini lebih banyak lagi IPTS akan tampil untuk menyuntik semangat atlet kebangsaan menjadi lebih cemerlang," katanya.

Sepuluh IPTS yang menawarkan biasiswa tersebut ialah Allianze University College of Medical Sciences, Berjaya University College of Hospitality, Cyberlinx College, Erican College, Help University, Segi University, Tunku Abdul Rahman College, Taylor University, University Tunku Abdul Rahman dan Sunway University.

No comments:

Post a Comment